Isnin, 23 April 2012

Hanya 819 Taska Berdaftar Dengan KPWKM

MSTAR ONLINE


KULIM: Hanya 819 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) daripada lebih 3,000 buah yang beroperasi berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seik Kei berkata pusat sehenti telah diwujudkan kementerian dalam usaha menangani masalah ini.

"Kita berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan sebelum menjalankan operasi taska," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Daftar Taska dan Orang Kelainan Upaya Peringkat Negeri Kedah, di sini Ahad.

Menurut Heng sehingga kini menurut rekod kementerian, negeri Selangor mempunyai jumlah tertinggi bilangan Taska yang beroperasi tetapi tidak berdaftar dengan kementerian.

Mengenai pendaftaran OKU, Heng berkata sehingga kini terdapat hanya 250,000 orang OKU yang berdaftar berbanding sasaran lebih 300,000 orang mengikut pengiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau menyeru para ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak-anak OKU supaya membantu kementerian dalam usaha mencapai jumlah yang disasarkan itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: