Isnin, 16 April 2012

Buat Pilihan Tepat Pilih Pemimpin - Nazri

MSTAR ONLINE

HULU SELANGOR: Rakyat perlu menilai individu yang mereka pilih bagi mewakili mereka pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata rakyat perlu memastikan pemimpin yang mereka pilih bukan yang kurang ajar dan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan Ketua Negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai dakwaan yang beberapa pemimpin parti pembangkang bertindak menghina Raja-Raja Melayu semasa istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara Rabu lepas.

"Terpulang kepada rakyat untuk menilai. Adakah orang seperti ini yang kurang ajar, biadap untuk dijadikan pemimpin. Jadi saya lebih nampak hukuman dari rakyat lebih penting ketika ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan netbook 1Malaysia fasa 3 di Bukit Beruntung, di sini, Ahad.

Dakwaan itu disiarkan di beberapa laman blog hasil pendedahan seorang pengawai perubatan Dr Rahman Kadir yang berada pada istiadat itu dan mendakwa beberapa pemimpin pembangkang bertindak mempersenda dan mengejek pemimpin kerajaan serta Raja-raja Melayu.

Sehingga ada yang mencadangkan pemimpin pembangkang yang terbabit dikenakan tindakan undang-undang, namun bagi Mohamed Nazri, ketika ini, hukuman yang terbaik adalah dari rakyat.

Menyentuh mengenai kenyataannya yang bersedia untuk memberi laluan kepada calon baru untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Padang Rengas yang disandangnya, Mohamed Nazri berkata pendiriannya untuk berundur dari kancah politik itu dibuat demi perjuangan parti dan memberi ruang kepada muka baru.

"Dalam parti kita, tiada yang 'indispensable'. Jadi nasihat saya, kita mesti sokong calon boleh menang," katanya.

Mohamed Nazri berkata beliau tidak mahu hubungan persahabatan yang terjalin lama dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi penghalang dalam membuat keputusan mengenai siapa yang layak untuk menjadi calon.

"Jika beliau memutuskan untuk tidak memilih saya kali ini, beliau tahu saya tidak kecewa. Saya percaya kepada 'regeneration' dan bukannya kitar semula," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Mohamed Nazri menyampaikan netbook kepada 1,300 pelajar yang layak menerima di dalam Parlimen Hulu Selangor di mana sebelum ini, Fasa 1 melibatkan 1,000 pelajar dan Fasa 2 membabitkan 1,589 pelajar. BERNAMA

Tiada ulasan: