Khamis, 5 April 2012

BN paksa Parlimen terima usul ‘reformasi’ pilihan raya tanpa bahas, inikah transformasi Najib?

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Cara Barisan Nasional mengendalikan Parlimen dengan menggantung tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan memaksa usul pembaharuan pilihan raya diluluskan tanpa mempedulikan cadangan pembangkang mencerminkan kerajaan pusat tidak jujur dalam usaha mereformasikan pilihan raya.

Malah, perbuatan yang bersifat kuku besi itu semalam merupakan episod paling memalukan dalam sejarah Parlimen, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, semuanya berpunca daripada kesilapan yang dibuat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin yang telah menolak usul pindaan oleh tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tentang Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya.

Menurutnya, Ahli Parlimen DAP Rasah Loke Siew Fook, Azmin Ali (PKR Gombak) dan Dr. Mohd Hatta Ramli (PAS Kuala Krai) mahu mengusulkan supaya satu laporan minoriti, iaitu laporan pembangkang, dimasukkan ke dalam laporan akhir PSC bagi menjadikannya satu laporan yang lengkap untuk dibentangkan di Parlimen.

Pandikar bagaimana pun menolaknya kerana menganggap laporan minoriti tidak wujud dalam mana-mana Parlimen di negara-negara Komanwel termasuk di New Zealand dan United Kingdom.

Apabila wakil-wakil rakyat PR memberitahu Speaker bahawa beliau telah membuat kesilapan, Pandikar tetap menolak untuk mengkaji semula keputusannya.

Tidak lama selepas makan tengah hari, Pandikar membuat satu kemunculan mengejutkan dalam Dewan dengan terus menggantung tiga wakil rakyat PR, iaitu Azmin, R. Sivarasa (PKR Subang) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) atas alasan mempertikaikan keputusan Speaker.

Menurut Kit Siang, Pandikar yang telah hilang kawalan Dewan terus memaksa usul yang dibawakan oleh Pengerusi PSC tersebut, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, untuk diundi tanpa perbahasan, yang didakwanya diluluskan dengan majoriti Ahli Parlimen yang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Kemudian, Pandikar terus menangguhkan mesyuarat Dewan tanpa memberi peluang kepada sesiapa untuk berucap lagi.

“Sesungguhnya, ia merupakan hari yang amat menyedihkan bagi Ahli-Ahli Parlimen yang mahu membahaskan laporan PSC dan reformasi sistem pilihan raya,” ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Menurutnya, Pakatan Rakyat bersedia sepenuhnya untuk perbahasan laporan PSC tersebut, terutamanya fokus kepada kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan senarai pengundi yang merupakan syarat utama untuk sebuah pilihanraya yang adil dan bersih.

Malah, katanya, hanya satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 untuk pilihan raya bersih, bebas dan adil sedang dilaksanakan, iaitu penggunaan dakwat kekal manakala yang lainnnya ditolak oleh SPR.

“Dalam keadaan ini, bolehkah rakyat Malaysia mengharapkan PRU13 menjadi bersih, bebas dan adil selaras dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia adalah ‘demokrasi terbaik di dunia’?” tambah beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: