Sabtu, 21 April 2012

Bawa 300,000 Kaum India Tanpa Dokumen Kepada MIC

MSTAR ONLINE


BANTING: Pembangkang perlu mengemukakan masalah 300,000 orang kaum India tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan seperti didakwa kepada MIC supaya tindakan boleh diambil, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya sekiranya ada 300,000 penduduk Malaysia keturunan India tanpa dokumen pengenalan diri maka pembangkang perlu membawa mereka kepada MIC supaya parti itu dapat membantu mereka.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendan pada sidang media selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tamil Jugra di sini, Jumaat.

Semalam, Surendran mengetuai kira-kira 200 masyarakat India mengadakan protes di depan pagar Parlimen bagi menuntut kerajaan mengenal pasti 300,000 orang tersebut dan mengeluarkan MyKad kepada mereka.

Dr Subramanian berkata kempen MyDaftar yang dilancarkan pada 23 Februari tahun lepas hanya mengenal pasti kira-kira 15,000 penduduk keturunan India di negara ini tanpa dokumen yang relevan dan daripada jumlah itu, hanya 9,529 orang mengemukakan borang permohonan.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata kira-kira 500 buah sekolah Tamil di seluruh negara menerima peruntukan sebanyak RM425 juta sejak 2009 hingga tahun ini.

"Tahun ini kita senarai pendek sekolah Tamil yang dapat peruntukan RM100 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012 dan kerja menaiktaraf mungkin akan mula dua bulan lagi selepas proses perolehan ditetapkan," katanya.

Terdahulu itu, dalam ucapan pada majlis itu, Dr Subramaniam berkata bangunan tiga tingkat SRK Tamil Jugra dibina dengan kos RM2.8 juta.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada sekolah itu. BERNAMA

Tiada ulasan: