Ahad, 29 April 2012

Ambiga: Bersih 3.0 berjaya, desakan didengar

Mohd Zulfadli Sharifudin

Ambiga: Bersih 3.0 berjaya, desakan didengar
 
Ambiga yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan dan Unit Amal Pas melambai ke arah peserta perhimpunan dan sempat berucap pendek.
 
 
KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 berjaya walaupun ia berakhir dengan pertembungan antara ribuan penyokongnya dan pasukan polis.

"Hari ini ialah hari yang bersejarah buat kita semua. Walaupun kita tak sampai Dataran Merdeka, kita sudah berjaya hari ini.

"Desakan kita sudah didengari kerajaan dan seluruh dunia. Semua kaum datang untuk pilihan raya yang bersih dan adil. Kita berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk anak-anak kita dan masa depan Malaysia," kata beliau.

Perhimpunan hari ini, walaupun tidak mendapat kebenaran untuk diadakan di Dataran Merdeka, ia diteruskan dan dicemari insiden merempuh sekatan didirikan oleh polis di lokasi bersejarah itu.

Beliau berucap dari atas sebuah kereta pacuan empat roda, di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, sebelum berarak menuju ke persimpangan menuju ke Dataran Merdeka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata: "Kami ucapkan terima kasih pada semua yang hadir."

"Kita nakkan pilihan raya yang bersih dan adil bukan kotor.

"Kita berhimpun untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan ini membuktikan perhimpunan ini berjaya apabila rakyat turun beramai-ramai secara aman tanpa sebarang kekacauan," kata beliau.

Tiada ulasan: