Ahad, 8 April 2012

Amanah bukan parti politik

NURUL HUDA HUSAIN

Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA TERENGGANU – Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tengku Razaleigh Hamzah mengakui pertubuhan itu menggunakan pendekatan politik kerana kebanyakan isu berkenaan yang dibangkitkan rakyat.

Namun, pihaknya tidak merancang mengubah status pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kepada parti politik.

Menurutnya, terpulang orang ramai mentafsir Amanah sama ada menjurus kepada politik atau sebaliknya, kerana asas perjuangan utama adalah menjaga kepentingan rakyat.

“Kita ingin menjadi badan (NGO) yang disertai pelbagai kaum dan parti politik pertama di negara ini.

“Amanah kini mempunyai latar belakang yang pelbagai. Ada Pas, Umno, PKR, MCA dan DAP,” katanya kepada media pada majlis Pelancaran Serta Penerangan Amanah Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Tanjung Vista di sini, semalam.

Tengku Razaleigh berkata, Amanah bercakap atas kepentingan umum dan bila membabitkan rakyat, secara tidak langsung akan berkait dengan isu politik dan terpulang bagaimana mentafsirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang tidak mahu penubuhan Amanah disamakan dengan parti politik lain kerana tindakan berkenaan secara tidak langsung mengundang rasa muak rakyat.

“Kalau banyak sangat parti politik rakyat akan jelak serta situasi ini akan cacatkan lagi politik negara.

“Atas sebab itu, kita ingin membantu rakyat tanpa libatkan politik,” katanya.

Ketika ditanya status beliau setakat ini, Tengku Razaleigh mengakui bahawa dirinya masih anggota dan ahli Umno dan perkara itu tetap tidak berubah, meskipun terbabit pertubuhan berkenaan (Amanah) yang secara asasnya ditubuhkan untuk memastikan kepentingan dan hak rakyat terus terbela.

Hadir sama Koordinator Amanah Negeri Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah dan Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ismail bersama-sama lebih 500 tetamu pelbagai parti.

Tiada ulasan: