Khamis, 12 April 2012

Aktivis anti Lynas tarik diri dari pendengaran rayuan, fokus kepada kes sebenar


KUALA LUMPUR — Tiga daripada enam pemohon petisyen membantah pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Corp telah menarik diri daripada pendengaran kes pada 17 April ini, menegaskan mahu memberi tumpuan kepada semakan kehakiman hari ini berhubung lesen kilang nadir bumi itu.

Pengerusi Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia, Tan Bun Teet, mengesahkan beliau dan dua yang lain tidak akan hadir semasa pendengaran kes yang akan diadakan di Agensi Nuklear Malaysia di Bangi, di mana Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, akan mendengar hujah membantah pemberian TOL kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Satu kumpulan akan hadir sebelum menteri mendengar hujah untuk semakan TOL, sementara satu kumpulan telah menarik diri sebagai persediaan untuk semakan semula kehakiman,” kata Tan kepada The Malaysian Insider.

Tan menjelaskan bahawa mereka tidak akan memulakan apa-apa prosiding undang-undang dan kes semakan kehakiman hari ini melibatkan satu kumpulan yang dinamakan Gabungan Hentikan Lynas (SLC).

Beliau berkata semua petisyen itu dihantar penduduk Kuantan.

Ismail Abu Bakar, naib pengerusi SMSL, bersama seorang pemohon akan mengetuai kumpulan itu semasa pendengaran rayuan.

Kuantan terletak kira-kira 25 kilometer dari Gebeng — lokasi di mana kilang pemprosesan nadir bumi Lynas dibina.

Tan juga berkata Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) “tidak menyediakan alasan tentang pemberian TOL”.

Beliau mendakwa undang-undang memperuntukkan AELB untuk menyediakan sebab dan alasan pemberian TOL “tujuh hari sebelum pendengaran”, di mana dalam kes ini pada 10 April.

Tan menambah pihaknya masih belum menerima dokumen daripada AELB.

Bagaimanapun Ketua Pengarah AELB, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan, menafikan dakwaan itu berkata “kami telah menghantarnya bulan lepas melalui saluran yang sah (termasuk pos berdaftar)”.

Beliau juga bertanya jika pemohon petisyen telah berhubung dengan peguam masing-masing.

Pada Januari lalu, AELB meluluskan pemberian TOL kepada kilang Lynas itu tetapi tidak mengeluarkan permit sehingga syarikat dari Australia itu mematuhi syarat-syarat keselamatan tambahan yang ditetapkan.

Minggu lalu, AELB berkata agensi itu tidak akan mengeluarkan TOL kepada Lynas Corp sehingga pendengaran rayuan oleh sekumpulan penduduk kepada Ongkili selesai.

Pada Selasa lalu, anak syarikat Lynas Corp Malaysia berkata kilang itu dijangka akan memulakan operasi tiga minggu lagi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan petang ini jika satu kes mahkamah melibatkan SLC bagi semakan semula membenarkan ia diteruskan.

Pada Jumaat ini, gabungan 22 pertubuhan bukan kerajaan yang dinamakan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau merancang meneruskan kempen anti Lynas di masjid di seluruh negara.

Pengkritik menyifatkan Lynas Corp telah gagal memberikan jaminan kukuh tentang bagaimana ia akan mengendalikan sisa radioaktif tahap rendah yang akan terhasil di kilang itu.

Namun syarikat Australia itu yakin sisa radioaktif dari kilang di Gebeng tidak berbahaya dan mudah untuk dikitar semula untuk penggunaan komersial.

Tiada ulasan: