Isnin, 9 April 2012

15 pelajar dari 17 sekolah dipanah petir

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

petir melaka

MELAKA - Seramai 15 pelajar dari 17 sekolah menengah di Melaka, yang sedang mengikuti perkemahan badan beruniform, cedera terkena renjatan akibat panahan petir di Kem Pengakap Bukit Katil di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang semasa hujan. Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka dan kini sedang menerima rawatan di unit kecemasan.

Pelajar berkenaan yang mengikuti perkemahan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) rebah selepas petir memanah sebuah pokok dalam kejadian kira-kira 5.30 petang.

Kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis, Banda Hilir, di sini adalah antara 584 pelajar yang menyertai program perkemahan bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Salah seorang mangsa, Mohd Faisal Othman, 15, berkata, sebelum kejadian, kesemua pelajar baru selesai membuat raptai sempena majlis perasmian program berkenaan di kem tersebut yang dijadualkan berlangsung esok.

“Raptai dihentikan sekejap kerana hujan renyai dan kami semua masuk ke dalam khemah masing-masing. Saya dan lima rakan yang tinggal satu khemah kemudian mahu keluar ke khemah lebih besar kerana takut mendengar bunyi guruh dan petir.

“Tetapi, sebaik saja saya keluar dari khemah bersama tiga rakan lain, saya nampak pokok berhampiran khemah dipanah petir. Saya rasa seperti terkena elektrik terus jatuh terlentang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka.

Mohd Faisal berkata, kejadian sama turut menimpa dua rakan sekhemahnya yang berada di luar, selain tiga lagi berada dalam khemah sama.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang melawat mangsa di unit kecemasan dan trauma hospital berkenaan berkata, seramai 14 pelajar dijangka dibenarkan pulang sebaik saja pemeriksaan selesai dilakukan pihak hospital.

“Setakat ini hanya seorang sahaja yang mengadu sakit dada dan sekiranya pemeriksaan selesai, kesemua 14 yang lain dibenarkan pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau bagaimanapun meminta ibu bapa pelajar terbabit tidak risau kerana kejadian tersebut terkawal.

Tiada ulasan: