Jumaat, 30 Mac 2012

Zunar ketuai program kartunis bantah Lynas

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Kartunis politik tanahair, Zunar mengetuai sekumpulan kartunis mengadakan program kesedaran bahaya sisa nadir bumi (rare earth) kepada penduduk Kuantan pada 31 Mac ini.

Ia adalah program anjuran bersama kumpulan kartunis itu dan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) serta Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar).

Menurut Zunar (gambar) atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, program itu akan disertai angkatan kartunis tanah air seperti Johnny Ong, Nor Azlin Ngah (Jonos), Azman Md Noh, Azmie Taha dan Abdullah Jones.

Antara program yang akan diadakan pada hari itu pula ialah peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak, acara melukis karikatur, melukis ‘banner’ secara terbuka dan demonstrasi melukis kartun, kata Zunar.

“Program amal ini adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab kami sebagai kartunis kepada masyarakat.

“Kami berharap kaedah penerangan menerusi program santai begini akan memberi lebih kesedaran kepada masyarakat setempat dan generasi akan datang tentang bahaya sisa nadir,” kata Zunar.

Menurut Zunar lagi, program itu dipecahkan kepada dua sesi berasingan.

“Di Balok, program bermula jam 3 hingga 5 petang bertempat di Dewan Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad manakala program di Teluk Cempedak bermula jam 8 malam.

“Peraduan mewarna dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja. Hadiah-hadiah menarik disediakan dan pendaftaran boleh dibuat di tempat pertandingan pada hari tersebut. Manakala orang dewasa boleh mengambil bahagian dalam acara melukis kain rentang serta karikatur,” katanya.

25 Mac lalu, Zunar baru sahaja melancarkan buku terbarunya berjudul ’1Moolaysia’ di Petaling Jaya.

Selain mengusik isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, buku terbaru itu juga menyentuh pelbagai isu semasa antaranya tindakan imam kontroversi, Hoslan Hussein membaling kasut kepada hakim di mahkamah.

Sebelum ini pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku kartun Zunar dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam.

Kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku Zunar atau menghadapi risiko kehilangan lesen manakala kedai di seluruh negara diberi amaran supaya tidak menjual bukunya.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke lokap di bawah Akta Hasutan sebelum dibebas atas arahan mahkamah.

Beliau turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan “Anugerah Keberanian menentang Penapisan” di Festival Menentang Penapisan VI pada 10 November 2011.

Lanjutan daripada anugerah itu beliau dijemput menjadi karyawan tamu Artists-in-Residence 2011 selama tiga bulan oleh BilbaoArte/Fundacion BBK, sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.

Sebelum itu beliau juga dianugerahkan “2011 Award in Editorial Cartooning” oleh Cartoonist Rights Network International (CRNI) St Petersburg, Florida, pada 7 Julai 2011.

Tiada ulasan: