Jumaat, 30 Mac 2012

Umno utamakan calon boleh menang, disukai ramai - Tajuddin

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR: Umno tidak pernah meminggirkan golongan cerdik pandai untuk menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pilihan raya umum, kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Sebaliknya menurut beliau, golongan ini sentiasa dialu-alukan, namun faktor yang lebih penting ialah, mereka bukan hanya perlu bijak tetapi haruslah diterima oleh masyarakat secara keseluruhannya.

" Kalau calon tersebut daripada kalangan cerdik pandai dan diterima rakyat, kita tiada masalah untuk beri peluang. Kita mahukan calon yang boleh menang dan disukai rakyat.

" Umno parti yang amalkan demokratik. Yang bagi peluang sebenarnya ialah ahli Umno. Kalau ahli tersebut mahu pegang sebarang jawatan, bertandinglah. Cuma kalau bertanding, ia tidak diukur berdasarkan kelulusan semata-mata. Semuanya berdasarkan sokongan dan penerimaan ahli. Penerimaan mereka pula didasari dengan keyakinan yang tokoh atau calon yang dipilih itu mampu memberi perkhidmatan kepada ahli dan juga rakyat," katanya.

Tajuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang meminta kepimpinan Umno di peringkat bahagian dan cawangan membuka seluas-luasnya peluang kepada golongan profesioanal dan cerdik pandai menyertai Umno.

Mahathir berpendapat, parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam Umno.

"Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk Pas.

"Ini akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Budaya Global anjuran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di sini, Rabu lalu.

Mengulas isu sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui AntaraPos.com berkata, pemilihan calon dalam Umno adalah berdasarkan sistem demokrasi yang mengutamakan pendapat ahli majoriti.

"Ini masalah demokrasi, bukan masalah siapa-siapa. Kalau kita lihat, demokrasi bukanlah pemilihan berdasarkan yang terbaik sahaja. Demokrasi ini adalah pemilihan berdasarkan yang paling popular (majoriti), yang dipilih rakyat, dan bukan berdasarkan merit. Ia adalah persepsi masyarakat, yang diterima masyarakat," jelas beliau.

"Orang cerdik pandai pula tidak semestinya pilihan yang baik, berkemungkinan dia tidak bagus dalam pengucapan awam, lantang bersuara dan sebagainya," katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menekankan bahawa beliau hanya mahukan calon boleh menang untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ini merupakan satu prinsip yang sangat penting sebab kalau kita meletak calon, itu bererti calon itu mewakili BN dan kita perlu calon itu menang sebab kita nak membentuk kerajaan.

"Tolong beri saya calon-calon yang boleh menang, saya tidak peduli sama ada mereka tua, baru atau pertengahan umur asalkan mereka boleh menang,"ujar Najib.

Tiada ulasan: