Khamis, 8 Mac 2012

Tuisyen Rakyat Dapat Sambutan Menggalakkan




TANJUNG KARANG: Bersemangat untuk memperolehi keputusan peperiksaan lebih cemerlang, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Dun Sungai Burung menerima sambutan hangat di kalangan pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Menurut Penyelaras Dun Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo, kira-kira 140 orang pelajar yang layak telah mendaftarkan diri dalam program tersebut.

“Sebenarnya kouta cuma seratus pelajar sahaja untuk setiap Dun, tetapi sambutan amat menggalakkan hingga mencecah 140 pelajar.

“Jadi kami masukan semua 140 pelajar yang layak tu sertai program PTRS ini,” kata beliau.

Mohamad Judi turut berharap agar pelajar-pelajar yang berpeluang menyertai program ini tidak mensia-siakan kemudahan percuma yang disediakan kerajaan negeri.



PTRS merupakan sebuah program yang diwujudkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma khusus untuk calon-calon SPM.

Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Program yang diadakan di semua 56 kawasan Dun ini ditawarkan kepada pelajar bakal menduduki SPM di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana atau lemah.

Empat matapelajaran yang ditawarkan dalam program ini adalah matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Seramai 8,841 pelajar dari seluruh Selangor telah mengikuti program ini semenjak ianya dimulakan pada 2009.

Tiada ulasan: