Rabu, 7 Mac 2012

Tiga maut kereta bertembung lori



KERETA Proton Saga BLM remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi, Johor, kelmarin hingga mengakibatkan tiga penumpangnya maut.

KOTA TINGGI – Keterujaan seorang wanita untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya pada 14 Mac ini berkecai apabila lelaki tersebut bersama ibu dan kakaknya maut dalam kemalangan ngeri ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan majlis itu di ibu negara kelmarin.

Kemalangan pukul 2.40 petang di Kilometer 28.5, Jalan Kulai-Kota Tinggi itu mengakibatkan Muhammad Hazwan Ahmad, 25; Saemah Mantu, 65, dan Fatimah Othman, 35, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu Muhammad Hazwan bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan ikan.

Turut berada dalam kereta itu ialah bakal tunang Muhammad Hazwan, Fazlina Othman, 25, dan anak saudaranya, Ahmad Razim Faizal, 3. Fazlina cedera di tangan kiri manakala kanak-kanak itu cedera di kepala. Pemandu lori berusia 33 tahun itu hanya cedera ringan.

Saemah dan Fatimah merupakan ibu dan kakak Fazlina.

Mengimbau semula kemalangan itu, Fazlina memberitahu, sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Felda Air Tawar Satu di sini selepas membeli kelengkapan pertunangan di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: