Rabu, 21 Mac 2012

Tanah rizab Melayu: Tiada perancangan khusus

Pada masa ini kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk membangunkan tanah-tanah rizab Melayu.


Sekitar Dun Selangor


SHAH ALAM: Kerajaan negeri setakat ini tiada perancangan khusus untuk membangunkan tanah rizab Melayu dengan keluasan 456,754.25 hektar yang membabitkan sembilan daerah di Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tiada projek pembangunan yang melibatkan tanah rizab Melayu oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu.

“Namun begitu, kebanyakan tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik seperti Klang, Hulu Langat dan Sepang kini sedang dibangunkan dengan projek-projek perumahan oleh pihak swasta seperti juga tanah-tanah bukan rizab Melayu.

“Pada masa ini kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk membangunkan tanah-tanah rizab Melayu,” kata beliau menjawab pertanyaan mulut Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam sidang dewan undangan negeri di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, Sabak Bernam mempunyai pecahan daerah keluasan tanah rizab Melayu yang tertinggi dengan 172,823.65 ekar, diikuti Kuala Langat 37,530.84 ekar dan Hulu Langat 33,093.86 ekar.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin lalu bertitah agar tiada pihak yang berani cuba memindahkan tanah rizab Melayu kepada mana-mana individu atau syarikat bukan milik Melayu.

Titah baginda, kerajaan negeri Selangor perlu mengutip hasil yang secukupnya dan menyimpan rizab yang wajar untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Beta percaya Dato’ Menteri Besar, kerajaan negeri Selangor dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan tanah rizab Melayu sampai tidak ada yang bertukar status.

“Beta difahamkan pentadbiran negeri dapat meningkatkan simpanan rizab negeri kepada Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Sembilan Bilion (RM1.9 bilion) pada 2011,” titah Tuanku.

Sultan Sharafuddin bertitah, kerajaan negeri harus pintar dalam menyediakan peruntukan dan agihan bantuan.

Tiada ulasan: