Sabtu, 24 Mac 2012

SPR Bidas Pembangkang Sengaja Bangkit Isu Undi Pos

Post Pic

ANTARA POS.COM


LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam membidas pembangkang yang sengaja membangkitkan isu berkaitan undi pos di kalangan petugas suruhanjaya itu.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR sejak dari dahulu lagi menggalakkan petugasnya mengundi secara pos untuk memastikan perjalanan proses pengundian ketika pilihan raya tidak terganggu.

"Kalau mereka ini mengundi secara biasa, siapa yang akan menggantikan mereka yang nak koyakkan kertas undi, calit dakwat ini siapa yang nak buat.

"Sebab itu, di bawah peraturan pengundian pos 2003 SPR, mereka ini dibolehkan (mengundi secara pos). Saya hairan kenapa isu ini berbangkit sedangkan inilah amalan SPR selama ini dalam mana-mana pilihan raya dan kita membuat mengikut peraturan yang sedia ada," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor kelmarin bahawa SPR sepatutnya mengehadkan petugasnya sebagai pengundi pos agar tidak mengganggu sebarang keputusan di mana-mana peti undi.

Riduan mendakwa sejarah pilihan raya umum di negara ini, sudah acapkali undi pos menjadi faktor kemenangan calon dan ia mampu mengubah keputusan pilihan raya.
Namun menurut Wan Ahmad, itu adalah tuduhan melulu kerana petugas SPR mengundi tertakluk di kawasan mana petugas berdaftar.

Katanya, undian petugas juga disimpan dalam satu sampul surat yang dilakri dan hanya akan dikira selepas proses pengundian secara biasa tamat.

"Kita mempunyai 22,000 saluran mengundi dan mempunyai 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri, kalau mereka ini keluar daripada tempat mereka bertugas untuk mengundi secara biasa, siapa yang akan memikul tugas mereka itu?" katanya.Wan Ahmad berkata meskipun SPR mempunyai 240,000 petugas, namun itu tidak bermakna kesemua petugas akan mengundi secara pos dan ada di kalangan mereka mengundi secara biasa.

Katanya, antara mereka yang mengundi secara pos ialah penyelia pusat pengundian, pemandu arah SPR dan petugas di saluran-saluran.

"Petugas SPR yang mengundi pos, nama mereka juga dipotong daripada senarai nama pemilih biasa. Agihan kertas undi juga dibuat depan wakil calon parti politik. Pada saya sepatutnya tidak timbul masalah.

"Pembangkang ini saya rasa saja-saja buat tak faham mengenai perkara ini. Bukan semua petugas SPR undi pos. Ini telah lama kita lakukan bertujuan untuk memastikan proses pengundian biasa lancar dan tidak terganggu," katanya.

Tiada ulasan: