Sabtu, 31 Mac 2012

'Sokongan Orang Asli Johor pada BN akan susut'

BN Johor bakal berdepan risiko susutan sokongan masyarakat Orang Asli Seletar pada pilihan raya umum akan datang jika masalah berkaitan tanah mereka tidak diselesaikan dengan segera.

Jurucakap Jaringan Masyarakat Orang Asli Seletar Johor, Eddy Salim menegaskan pihaknya tidak akan keluar mengundi, sekalipun menyokong BN dalam pilihan raya sejak lima penggal lalu.

NONE"Kita tidak akan keluar mengundi. Kita biar sahaja. Sebelum ini kita pergi undi, (BN) menang. Kalau kalah, jangan salahkan kita. Saya tidak menghasut.

"Ia sebagai satu tanda protes kepada kerajaan supaya menyelesaikan masalah kami," katanya sambil menambah masalahnya termasuk dakwaan pencerobohan tanah perkuburan dan pembangunan di perkampungan mereka.

Eddy juga menegaskan beliau tidak bermaksud memberi "ugutan" kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu, sebaliknya meminta masalah itu diselesaikan sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Kemarahan Orang Asli Seletar itu ekoran desakan mereka supaya kerajaan negeri mewartakan sebidang tanah perkuburan di Kampung Bakar Batu dekat Johor Bahru, sebagai kawasan rizab Orang Asli belum mendapat sebarang reaksi.

Dalam masa yang sama, sebahagian daripada tanah perkuburan itu sudah diratakan dengan jentolak untuk tujuan pembangunan Wilayah Iskandar.

NONEEddy yang ditemui Malaysiakini di premis perniagaannya di Kampung Sungai Temon berkata pihaknya juga tidak menyokong parti pembangkang yang didakwa belum tentu akan menolong mereka.

"Kita bukan pandai main politik... Kita berada di tengah-tengah. Kalau selesai (masalah kami) sebelum pilihan raya, 80 peratus akan menyokong BN," katanya sambil menambah Orang Asli sudah matang untuk membuat penilaian.

Eddy: Jangan salahkan Orang Asli garang

Sebahagian perkampungan mereka berada dalam kawasan parlimen Pulai yang sebelum ini dimenangi oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada BN.

Bagaimanapun, peratusan pengundi Orang Asli, yang digolongkan dalam kategori sebagai "lain-lain", amat sedikit di kawasan itu dengan 0.23 peratus daripada 79,622 pemilih berdaftar.

Eddy berkata, sebanyak 2,000 hingga 3,000 masyarakat Orang Asli di sembilan perkampungan boleh mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

NONEAntara perkampungan yang terlibat Kampung Sungai Temon, Kampung Simpang Arang, Kampung Telok Jawa, Kampung Pasir Putih, Kampung Bakar Batu dan Kampung Sungai Tiram.

Perkampungan Orang Asli di Sungai Temon dan Bakar Batu termasuk kawasan hutan bakau yang berdekatannya termasuk dalam kawasan pembangunan Wilayah Iskandar.

Sehubungan itu, Eddy mendesak supaya kerajaan negeri memberikan layanan yang adil kepada mereka termasuk menimbang mewartakan kawasan perkuburan di Kampung Bakar Bata, dalam parlimen Pulai, sebagai tanah rizab mereka.

"Jangan salahkan Orang Asli (Seletar), jika Orang Asli garang," katanya sambil menegaskan setiap keputusan juga perlu melibatkan wakil mereka.

Tiada ulasan: