Khamis, 8 Mac 2012

Sistem kupon: Kerajaan aniaya pemandu teksi

Oleh: Norutul Ilham

KUALA LUMPUR 7 Mac: Ekoran tidak berpuas hati tindakan kerajaan mewujudkan sistem teksi berkupon, Badan Bertindak Pemandu Teksi (BBPT), bersama Ahli Parlimen Pembangkang Wilayah Persekutuan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.


Pertemuan melibatkan empat Ahli Parlimen iaitu Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Tian Chua (Batu), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Tank Kok Wai (Cheras), membuahkan hasil apabila SPAD berjanji akan mengkaji semula sistem berkenaan.

Menurut Tian Chua, selepas mengadakan pertemuan selama dua jam, Syed Hamid Albar memberi jaminan akan mengadakan dialog susulan bersama pemandu teksi bagi menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun katanya, beliau menyatakan kebimbangan kerana meskipun SPAD telah mengambil peranan Lembaga Pelesenan kenderaan Perdagangan (LPKP), namun agensi itu tidak mempunyai kuasa mutlak.

“Dalam isu pengangkutan, kita dimaklumkan SPAD ada kuasa terhad.

“Mereka masih banyak isu perancangan pengangkutan, ini yang menjadikan terhad untuk mereka. Kita berharap akan ada perubahan daripada perjumpaan ini.

“Pihak SPAD ada beritahu, mereka masih mengkaji perkara tersebut dan masih belum buat keputusan bagi menyelesaikannnya,” ujarnya dalam satu sidang media di Brickfield.

Sementara itu, wakil BBPT Wilayah Persekutuan, Zaki Bashir, 50, turut menyatakan bantahan itu kerana membebankan pemandu teksi di kawasan yang tidak mempunyai kaunter kupon tersebut.

“Kami akan tunggu tindakan seterusnya kerana kami ada serah beberapa permintaan dengan SPAD selain pemansuhan sistem kupon.

Selain itu, katanya beliau mendesak kerajaan untuk menyemak semula kadar sewa teksi semasa, insuran, permit teksi dan soal kebajikan pemandu teksi.

“Kami harap kerajaan dapat atasi masalah ini terutamanya melibatkan teksi bermeter,” ujarnya.

Manakala, wakil pemandu teksi yang juga bekas Pengerusi Pemandu Teksi Wilayah, Yusof Suli, 63, menyalahkan kerajaan kerana melaksanakan sistem berkenaan tanpa mengambil kira pemandu teksi lain.

“Apa yang patut kerajaan buat, hapuskan sistem kupon. Lagipun sejak berpuluh tahun kerajaan tidak pernah mahu mengambil tahu masalah kami.

“Bertambah-tambah masalah, daripada permit hingga kepada syarikat teksi, tetapi tiada apa yang kerajaan lakukan kepada kami,” katanya.

Tiada ulasan: