Rabu, 28 Mac 2012

Shuhaimi : Umno Ikut Peraturan, Tetapi Tak Bermoral




SHAH ALAM : Penjualan tanah oleh segelintir pemimpin Umno-BN yang menyalahgunakan pengaruh mereka dalam pentadbiran lama adalah tidak bermoral walaupun transaksi mereka mengikut undang-undang.

ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie menambah sesetangah kes penjualan tanah tersebut kepada syarikat swasta di mana pemimpin Umno itu ada kepentingan.

Shuhaimi juga berkata, kebanyakan pemimpin Umno-BN mematuhi peraturan yang betul semasa menjual tanah rizab Melayu, namun mereka mengambil kesempatan atas kedudukan yang dimiliki untuk mempercepatkan proses jualan tanah.

Menurutnya, situasi itu dilihat melibatkan isu penyalahgunaan kuasa ke atas jawatan yang dimiliki selain tidak menjaga kebajikan rakyat.

“Pemimpin Umno menggunakan undang-undang yang betul, tetapi cara mereka itu tidak kena dan dilihat membelakangkan rakyat.

“Mereka menggunakan pengaruh yang ada untuk mempercepatkan proses penjualan tanah yang berkemungkinan mengambil masa panjang untuk orang biasa.

Maka, atas faktor itu kita sifatkan ia sebagai salah satu isu penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Shuhaimi sebelum ini mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Umno-BN terdahulu dalam isu pemberian tanah yang melibatkan beberapa bahagian Umno Selangor.

Beliau berkata, pendedahan tersebut merupakan reaksi daripada desakan ADUN Umno-BN dalam sesi Dewan Negeri Selangor baru-baru ini supaya beliau membuktikan dakwaan tentang penyelewangan Umno-BN.

Shuhaimi mendedahkan tiga kes, iaitu pemberian tanah Kerajaan kepada Umno Kota Raja pada tahun 2007 dan cubaan Ketua Umno Puchong, Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Satim juga didakwa telah menggunakan pengaruhnya di dalam pentadbiran Umno-BN yang lama bagi menjual tanah anak syarikat Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

Shuhaimi berkata, pihaknya akan meminta Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah di Jalan Bukit Kemuning.

“Umno Kota Raja tidak bayar seperti yang dibayar oleh orang lain. Dia bayar secara nominal iaitu seringgit sekaki dan menggunakan perkongsian geran bersama majlis untuk mendapat manfaat.

“Isu penyalahgunaan dana dan kuasa ini yang perlu diketengahkan supaya rakyat dapat menilai bahawa ia tidak bermoral,” katanya.

Tiada ulasan: