Jumaat, 30 Mac 2012

Rodziah Nafi Berjanji Beri Bantuan Bina Kompleks Anak Yatim Bukit Beruntung




SHAH ALAM : Kerajaan negeri menafikan memberi bantuan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan kompleks anak yatim, Rumah Amal Anak Kesayanganku di Bukit Beruntung dan pembinaan jalan masuk ke kompleks itu.

Rodziah Ismail dalam satu kenyataan media, menjelaskan pihaknya pernah menerima permohonan itu tetapi mendapati permohonan mencurigakan.

Tegasnya, kerajaan negeri juga tidak pernah membuat apa-apa perjanjian secara bertulis apatah lagi perbincangan dengan pihaknya.

Malah, tanah yang berkeluasan 11.3 ekar yang terletak di Kampung Tuah, Mukim Hulu Yam itu telah diluluskan untuk diberi kepada Universiti Selangor (UNISEL) dalam mesyuarat Exco pada November 2010.

Sebelum ini, Setiausaha Kerja Rumah Amal Anak Kesayanganku, Mohd Suhaimi Jalaludin mendakwa Kerajaan Negeri Selangor pernah berjanji akan menyumbangkan bantuan sejumlah RM300,000.

Beliau juga mendakwa tanah yang diwakafkan untuk pembinaan kompleks anak yatim itu akan siap tahun ini tetapi terbengkalai selepas sebahagian peruntukan itu didahulukan untuk kemudahan asas jalan raya ke kompleks berkenaan.

Katanya, kompleks yang kini siap 80 peratus itu mempunyai empat blok dengan satu daripadanya digunakan tanpa mempunyai kemudahan air untuk menempatkan 30 anak yatim berusia antara 11 hingga 12 tahun.

Rodziah juga meminta penjelasan jika benar Rumah Amal Anak Kesayanganku mempunyai anak yatim seramai 160-170 orang, di manakah mereka ditempatkan? Apakah perincian perbelanjaaan mereka? Semua perincian ini telah dipohon tetapi sehingga sekarang masih belum berbalas.

“Bagaimana untuk kerajaan negeri berurusan sedangkan alamat yang diberi (Kampung Tuah KM 18) tidak berdaftar dengan POS Malaysia serta alamat emel yang diberi juga telah tidak boleh digunakan.

Katanya, rumah amal itu sehingga kini tidak dapat membuktikan bahawa status tanah yang diduduki adalah tanah wakaf walaupun sudah berkali-kali diminta.

Jelasnya, Pejabat Tanah Hulu Selangor juga memaklumkan terdapat dua buah pondok asrama bagi menempatkan anak-anak yatim, sudah tidak digunakan lagi.

Tambahnya lagi, jalan masuk yang dibuat oleh Rumah Amal Anak Kesayanganku tidak pernah dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Menurut Rodziah yang juga Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, berkemungkinan pembinaan rumah amal didalangi oleh Suhaimi yang mengatakan bahawa ada ‘sponsor’ yang akan memberi bantuan.

“Dengan itu beliau mengeluarkan tender sendiri dan memanggil kontraktor untuk membuatnya. Kita dapati dia menggunakan nama kerajaan negeri secara tidak sah yang kononnya di bawah satu Jabatan Kebajikan dan Sukan.

“Apabila pihak yang menjanjikan sumbangan sebanyak RM300 ribu itu tidak dapat menunaikannya, beliau berpusing kepada kerajaan negeri dan mengatakan kerajaan negeri sepatutnya membayar harga kontrak jalan ini disebabkan kerajaan negeri mempunyai projek pertanian di kawasan berhampiran,” katanya.

Tiada ulasan: