Jumaat, 30 Mac 2012

Restoran Didakwa Jalankan Aktiviti ‘Dangdut Rimba’ Disita



GOMBAK : Jabatan Perhutanan Selangor hari ini mengambil tindakan menyita sebuah restoran di Batu 12 3/4 yang didakwa menjalankan aktiviti tarian ‘dangdut rimba’ sebagai salah satu ‘menu’ penarik pelanggan.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Hutan, Mohd Yussainy Md Yusop, tindakan itu diambil bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

“Tindakan kita pada petang ini ialah untuk memberi respon serta merta ke atas satu aktiviti pendudukan tanpa kebenaran dalam Hutan Simpan Hulu Gombak yang disiarkan di sebuah akhbar nasional.

“Jadi, hari ini Jabatan Hutan seramai 30 anggota telah hadir ke kawasan ini untuk kita buat sitaan dan kita membuka semua struktur sementara yang dibangunkan,” ujar Hussainy.

Operasi petang tadi menyaksikan tiga buah khemah tidak kekal dan dua buah khemah besar disita bersama-sama dengan peralatan perniagaan.

Beliau menjelaskan, tindakan tersebut juga merupakan satu proses siasatan di bawah Seksyen 32 iaitu menduduki tanpa kebenaran dan permit penggunaan menurut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50, 000 atau penjara antara satu hingga lima tahun,” tambah Yussainy sambil memberitahu kebanyakan pusat rekreasi di kawasan berkenaan dijalankan tanpa kebenaran.

Satu laporan penuh akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Selangoruntuk diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Exco mengenai tindakan dan langkah untuk menangani masalah tersebut.

Sementara itu, pengusaha restoran terbabit, Mohamad Asri Md Nur,38, menyangkal dakwaan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah semata-mata.

“Apabila jadi perkara begini atas dasar satu fitnah yang tidak berlaku pun, tidak apalah, saya pasti ada hikmahnya,” ujar Asri sambil menafikan restorannya menjalankan aktiviti tarian sebaliknya sekadar perkhidmatan karaoke.

Asri juga memberitahu, restoran berkenaan baru beroperasi selama tiga bulan dan menjalankan operasi perniagaan selepas waktu Isyak dan menutup operasi sekitar 1 pagi.

Sebelum ini tapak rekreasi yang berkeluasan 10 ekar itu menjalankan operasi kem motivasi.

Tiada ulasan: