Isnin, 19 Mac 2012

PRU13: SPR sedia 90% akhir April

G MANIMARAN

LOGO PARLIMEN

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin dapat 90 peratus bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada akhir bulan depan - dua minggu selepas Dewan Rakyat selesai bersidang.

Persidangan Dewan Negara pula akan menyusul sehingga minggu kedua bulan Mei.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya telah pun mengurus dan menyempurnakan "tugas-tugas besar" ke arah menghadapi PRU13 - yang disifatkan sebagai 'ibu kepada segala pilihan raya', dan sasaran 90 peratus boleh dicapai akhir bulan depan.

"Akhir Mac kita akan selesai mengadakan taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya dan pekerja-pekerja pilihan raya.

"Dan, pada akhir April, kita sudah boleh bersedia 90 peratus. Sehingga (akhir) April, 90 peratus sudah OK," kata Wan Ahmad kepada Sinar Harian Online.

Justeru kata beliau, jika berlaku pembubaran Parlimen tidak ada sebarang masalah besar untuk menentukan tarikh pilihan raya.

Sinar Harian Online difahamkan SPR sudah pun siap mengadakan taklimat pilihan raya bagi semua negeri kecuali Sarawak.

Taklimat dan sesi lagi peringkat negeri dijangka diadakan awal April. Minggu lalu melibatkan negeri Sabah.

"Jadi bermakna jika Parlimen dibubarkan bulan April, SPR tiada masalah untuk mengadakan pilihan raya... persiapan-persiapan akhir boleh dibuat apabila Parlimen, Dewan Undangan Negeri dibubarkan," katanya dengan merujuk kepada sesi latihan dan taklimat dan logistik sebagai persiapan besar yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Perkara-perkara besar sudah selesai," katanya lagi.

Katanya, jika ada masa SPR akan mengadakan latihan pusingan kedua termasuk memperkenalkan kepada kaedah pengundian menggunakan dakwat kekal kepada semua pihak.

SPR mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Lazimnya pengundian akan diadakan dalam tempoh tiga minggu selepas pembubaran.

Spekulasi yang semakin kuat menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat, sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berakhir.

Laporan Bloomberg akhir minggu lalu menyebut Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan PRU13 pada Mei atau awal Jun ini.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.

Penemuan kajian Merdeka Center yang dikeluarkan minggu lalu menyebut populariti Najib telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu.

Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Mandat semasa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir pada April 2013.

Tiada ulasan: