Khamis, 29 Mac 2012

PRU serentak: Pakatan belum ada kata sepakat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang hari ini masih gagal mencapai kata putus sama ada mahu menyertai pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diterajui mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih dibincangkan dengan kepimpinan negeri-negeri memandangkan terdapat perbezaan pendapat dalam perkara itu.

"Kita masih bincang dengan negeri-negeri mengenai perkara ini. Ada yang berpandangan kita patut adakan berserentak dan ada yang tidak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Pakatan pembangkang yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat-DAP-PAS membentuk kerajaan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan selepas pilihan raya umum 2008.

Pada 17 November lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun ini meskipun Kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Parlimen bagi menjimatkan peruntukan kewangan dan tenaga kerja.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula menyerahkan keputusan kepada kepimpinan parti untuk menentukannya. - Bernama

Tiada ulasan: