Khamis, 29 Mac 2012

Polis wanita cedera digigit pesakit mental

Wartawan Sinar Harian

polis gigit

DUNGUN - Seorang anggota polis wanita berpangkat koperal berdepan detik cemas apabila digigit oleh seorang wanita, dipercayai mengalami gangguan mental, dalam satu pergelutan ketika cuba menahannya dalam satu kejadian 'amuk' dekat Sura Gate, Dungun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi di Pusat Perniagaan Sura Gate itu, Koperal Norliza Mohd Noor, 35, cuba menahan seorang wanita berkenaan yang cuba bertindak liar di pasar raya berkenaan.

Menurut Norliza, ketika dia baru hendak memulakan tugasnya dalam ‘Ops Payung’ bersama beberapa rakannya termasuk anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam di hadapan pasar raya tersebut, dia dimaklumkan oleh orang awam bahawa seorang wanita, dipercayai kurang siuman, cuba bertindak liar.

Norliza, yang bertugas di Balai Polis Dungun, bersama beberapa rakannya kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan cuba menahan wanita terbabit. Namun suspek dikatakan bertindak agresif lalu berlaku sedikit pergelutan.

“Dalam keadaan kelam-kabut, dia terus menerkam ke arah saya lalu mengigit di bahagian pergelangan tangan kanan.

“Seorang rakan saya, anggota Relawati cuba membantu, namun dia turut digigitnya,” kata Norliza.

Akibat kejadian itu, Norliza yang juga isteri kepada seorang anggota polis di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Dungun mengalami kecederaan di bahagian lengan manakala rakannya, Nur Rawaidi Razali, 20, cedera ringan.

Wanita yang berasal dari Felda Ketengah Jaya itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dungun untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian berkenaan dan suspek yang difahamkan mempunyai rekod gangguan mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Tiada ulasan: