Selasa, 13 Mac 2012

Pertunangan Gerakan-MCA yang tidak pernah berhasil

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


“Umumnya, perhubungan Gerakan dan MCA selama ini boleh diibaratkan seperti dua wanita gemuk yang cuba melalui sebuah pintu masuk yang sempit secara bersama”. Kenyataan ini telah diperoleh daripada satu dokumen rasmi tahun 1987 dan ibupejabat MCA ianya merupakan rekod yang dipetik daripada perbincangan antara para pemimpin kebangsaan MCA.

Pemimpin tersebut yang menyatakan perkara itu cuba menerangkan bertapa peritnya hubungan Gerakan dan MCA pada masa itu, sambil menambah, “masyarakat Cina sememangnya berharap agar Gerakan dan MCA akam bekerjasama rapat demi kebaikan masyarakat tersebut, akan tetapi kewujudan Gerakan ini sering dilihat oleh MCA sebagai duri dalam dagingnya.

Asal-usul ketegangan ini boleh dilihat daripada pemilihan MCA yang diadakan pada tahun 158 di mana Dr Lim Chong Eu telah mencabar pengasas MCA Tan Cheng Lock untuk merebut jawatan presiden parti dan Dr Lim berjaya dalam perebutan jawatan tersebut dengan majoriti 22 undi. Tempoh kepimpinan Dr Lim di dalam MCA penuh dengan perpecahan dan hubungan MCA dengan Umno yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pula menjadi semakin tegang dan keadaan itu bertambah buruk berikutan kegagalan MCA untuk mendapatkan peruntukan kerusi parlimen yang lebih untuk dipertandingkan.

Akibat daripada itu, Dr Lim meletakkan jawatannya sebagai presiden MCA dan seterusnya keluar daripada parti tersebut pada Disember 1960 atas alasan tidak lagi dapat memulihkan keadaan yang kian tegang dalam Perikatan.

Dr Lim kemudiannya membentuk Parti Demokratik Bersatu (UDP) dan pada tahun 1969, menggabungkan UDP yang dipimpinnya dengan Parti Buruh bagi membentuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan sempat menyertai pilihanraya umum tahun 1969 dengan entitinya yang baru. Di dalam pilihanraya umum tersebut, Gerakan berjaya mengalahkan Perikatan Pulau Pinang pimpinan MCA dan seterusnya membentuk kerajaan negeri yang baru.

Dalam tahun 1973 pula, Gerakan telah bersetuju untuk menyertai Perikatan negeri yang kemudiannya bertukar nama kepada Barisan Nasional (BN).

Sememangnya terdapat bukti yang telah dicatatkan di dalam dokumen rasmi MCA yang membuktikan ada cubaan dan usaha MCA untuk merampas kuasa daripada Gerakan di Pulau Pinang selepas pilihanraya umum 1969 dengan usaha untuk memujuk dua ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk berpaling tadah. Namun usaha tersebut ternyata gagal apabila Umno enggan menyokong rancangan tersebut. Atas sebab itulah permusuhan di antara Gerakan dan MCA kian parah. Hanya selepas lebih daripada empat puluh tahun barulah ibupejabat MCA kembali menyenaraikan Dr Lim Chong Eu sebagai salah seorang bekas presidennya.

Dalam tahun 1999, satu lagi krisis meletus apabila dua orang ADUN Gerakan Pulau Pinang melompat ke MCA selepas pilihanraya umum tahun itu. Lantas daripada itu, MCA mengambil kesempatan tersebut untuk cuba merampas kuasa dan jawatan ketua menteri Pulau Pinang daripada Gerakan dengan alasan jumlah kerusi ADUN MCA kini telah melebihi Gerakan. Namun, MCA gagal memperolehi jawatan tersebut dan sebaliknya naib-presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon pula dilantik menjadi ketua menteri Pulau Pinang, mengekalkan hak parti tersebut untuk jawatan tertinggi kerajaan negeri. Akibat daripada itu, sembilan ADUN MCA telah memboikot upacara mengangkat sumpah Dr Koh tetapi menafikan perbuatan mereka pada akhirnya.

Cadangan untuk bergabung

Pada 1 April 1985, presiden Gerakan pada masa itu, Dr Lim Kheng Yaik menandatangani satu perjanjian usahasama dengan pemangku presiden MCA Dr Neo Yee Pan bagi membentuk satu majlis bersama untuk membincangkan usaha-usaha penggabungan kedua-dua Gerakan dan MCA.

Sewaktu rundingan tersebut, Kheng Yaik memberitahu para wartawan dalam satu temuramah bahawa Gerakan telah bersedia menerima semua ahli MCA dan bertanya kenapa MCA bertegas akan hanya menerima ahli-ahli Gerakan yang berketurunan Cina sahaja. Menurut beliau lagi, “kenapa MCA akan hanya menerima ahli-ahli berketurunan Cina sahaja? Jika Gerakan dan MCA bergabung, kedua-dua parti hendaklah dibuka kepada semua kaum”.

Sebenarnya cadangan penggabungan Gerakan-MCA yang berbentuk sandiwara itu telah lama disebut-sebut sebelum 1 April 1985 dan ianya hanya sampai ke suatu kemuncak di awal 1985. Akan tetapi, masih ramai pemimpin Gerakan dan MCA sangsi akan cadangan penggabungan tersebut yang mereka anggap agak mustahil untuk dicapai dalam masa yang singkat.

Sebulan sebelum majlis bersama Gerakan-MCA itu dibentuk, setiausaha-agung pemuda MCA pada masa itu, Chew Hock Thye menafikan wujudnya cadangan penggabungan Gerakan-MCA dengan memberikan alasan bahawa kedia-dua Gerakan dan MCA punyai objektif dan ideologi yang sangat berbeza di mana MCA hanya mewakili kaum Cina sementara Gerakan adalah sebuah parti berbilang kaum.

Malah, Dr Neo turut membuat penafian tersebut pada 15 Mac 1985 tetapi mengakui majlis bersama Gerakan-MCA sememangnya akan wujud bagi merapatkan hubungan dan kerajasama di antara dua parti dan bukannya untuk mengusahakan penggabungan Gerakan-MCA.

Majlis bersama Gerakan-MCA itu merangkumi lima wakil daripada kedua-dua parti yang terdiri daripada presiden parti, timbalan presiden, setiausaha-agung dan dua lagi perlantikan.

Akan tetapi, setelah tiga bulan majlis bersama itu dibentuk, Gerakan secara terang-terang mendakwa MCA cuba menarik ahli-ahlinya untuk menyertai parti keturunan Cina itu. Perbalahan demi perbalahan terus menjadi walaupun selepas Tan Koon Swan yang baru mengambil-alih jawatan presiden MCA pada November 1985 telah mengumumkan yang MCA akan bekerjasama sepenuhnya dengan Gerakan hinggalah ke tahap maksima dan mengarahkan akar-umbi MCA di setiap negeri agar melupakan perbalahan mereka di masa yang lalu dan bertumpu kepada sgenda BN.

Malah, Koon Swan turut menyatakan kesediaan MCA untuk bergabung dengan Gerakan sebagai suatu rancangan jangkamasa panjang. Selepas beberapa minggu kenyataan Koon Swan itu dikeluarkan, presiden MCA itu memutarbelitkan kata-katanya dengan menyebut hanya ahli-ahli MCA sahaja yang boleh memberikan kata putus mengenai penggabungan Gerakan-MCA.

Kembali ke pangkuan asal

Di sebalik hubungan Gerakan-MCA yang semakin tegang, kepimpinan kedua-dua parti itu masih bertegas mengatakan bahawa agenda majlis bersama Gerakan-MCA itu masih aktif, tetapi hakikatnya majlis bersama itu telah pun separuh mati di tengah jalan.

Hanya pada tahun 1988, presiden Gerakan mengakui kedua-dua Gerakan dan MCA telah tidak ada apa-apa persamaan yang perlu diperbincangkan lagi. Dan di pihak MCA pula, parti itu menuduh Gerakan menggunakan pelbagai helah politik dan berikrar tidak akan mengambil bahagian lagi di dalam urusan majlis bersama Gerakan-MCA itu.

Minit mesyuarat jawatankuasa pusat MCA yang dicatatkan pada Jun 1988 memetik sebagai berkata, “sebagai membalas kenyataan yang dibuat oleh Kheng Yaik, keadaan dan kedudukan majlis bersama itu kini terbubar dengan sendirinya”, dan MCA melalui setiausaha-agungnya pada masa itu Lee Kim Sai menegaskan bahawa Gerakan lah yang telah menggagalkan usaha majlis bersama itu dengan cuba mensabotaj usaha MCA untuk mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat Cina.

Menurut Kim Sai lagi, “ini bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan usaha pembentukan satu parti berbilang kaum”. Jadi, kedua-dua Gerakan dan MCA kini telah kembali ke pangkuan asal masing-masing dengan persaingan di antara satu sama lain diteruskan.

Beberapa tahun kemudian, hanya selepas Ong Ka Ting yang mula menerajui MCA pada tahun 2003 mengakui sememangnya Kheng Yaik inginkan kerjasama yang lebih erat di antara Gerakan dan MCA dijalin dan Ka Ting turut menyebut sebelum Kheng Yaik bersara bekas presiden Gerakan itu pernah memesan beliau untuk merapatkan kerajasama MCA dengan penggantinya dalam Gerakan, Dr Koh Tsu Koon.

Namum, usaha tersebut terus terbantut apabila kedua-dua Gerakan dan MCA ke cundang di dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu di mana Ka Ting secara sukarela melepaskan jawatan presiden MCA bagi memikul tanggungjawab penuh ke atas kekalahan partinya.Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: