Khamis, 22 Mac 2012

Perkasa: Wan Azizah perlu bersihkan nama Azmin

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tampil bagi membersihkan nama timbalannya, Azmin Ali dalam isu dakwaan mempunyai saham jutaan ringgit.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata, PKR tidak seharusnya bersikap pilih kasih dengan bertindak secepat kilat apabila isu-isu tertentu melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) semata-mata.

“Jika Azmin gagal membuat penjelasan dan membersihkan namanya maka kami mencabar beliau segera meletakkan jawatan selaku Timbalan Presiden kerana beliau bukan sahaja mesti bersih tetapi haruslah juga kelihatan bersih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, Perkasa juga menyokong penuh desakan yang dibuat bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mahu Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin mengistiharkan harta kekayaan.

“Adalah tidak logik, tidak masuk akal dan amat luar biasa seorang pegawai kerajaan yang bergaji lebih kurang RM2,000 ketika itu mampu membeli begitu banyak saham melainkan seseorang itu ada sumber lain yang membolehkan beliau berbuat demikian,” katanya.

Kelmarin, Anuar mendesak Azmin dan Shamsidar mengistiharkan keseluruhan harta kekayaan bagi membuktikan mereka tidak mempunyai saham mencecah RM2 juta yang didakwa diperolehi pada tahun 1992 hingga 1994.

Sebelum ini beberapa akhbar melaporkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S.A. Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen-dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya, Shamsidar termasuk iparnya, Jamal Taharin yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.

Anuar pada 2004 pernah menjadi Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh juga pernah bertugas sebagai Setiausaha kepada Presiden PKR, Wan Azizah sebelum mengumumkan keluar parti PKR pada bulan Mei 2007.

Tiada ulasan: