Rabu, 28 Mac 2012

Pengurusan kes saman peguam Anwar 18 Apr

MALAYSIA KINI
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 18 April ini untuk pengurusan kes saman sebanyak RM10 juta yang difailkan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman terhadapnya di dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh tersebut ketika kes itu didengar di hadapannya hari ini.

NONEMahkamah turut memberikan tempoh selama tiga minggu bagi plaintif dan defendan memfailkan perkara-perkara yang mereka persetujui untuk dibicarakan sebelum kes disebut di hadapan timbalan ketua pendaftar pada 18 April nanti.

Kamar Ainiah, peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazaf, diwakili peguam Dorina Abdullah manakala Zainur Rijal (kiri) diwakili peguam Nizam Bashir.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Nizam berkata pihaknya telah memfailkan penyataan tuntutan pindaan pagi ini, dan mahkamah memberikan tempoh tiga minggu untuk defendan memfailkan pembelaan penyataan tuntutan pindaan tersebut.

Pada 15 Feb lepas, Zainul Rijal memfailkan saman fitnah berhubung kenyataan Kamar Ainiah di portal Malaysiakini dan HarakahDaily dan menamakan peguam itu sebagai defendan pertama dan firma guamannya, Tetuan Kamar Ainiah, Razif & Zashidi sebagai defendan kedua.

Zainul Rijal mendakwa Kamar Ainiah telah membuat kenyataan fitnah ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun lepas untuk memburukkan imejnya sebagai peguam dan ahli perniagaan.

Antara yang dituntutnya ialah satu perintah supaya penyiaran kata-kata fitnah itu dihentikan serta-merta dan penerbitan permohonan maaf dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily secara berterusan selama seminggu.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.- Bernama

Tiada ulasan: