Selasa, 13 Mac 2012

PAS lantik lima ahli Jawatankuasa Pemandu Kedah

Oleh Mohd Farhan Darwis


KUALA LUMPUR— PAS Pusat hari ini telah sebulat suara melantik lima individu sebagai ahli Jawatankuasa Pemandu bagi memastikan pelaksanaan janji-janji yang diberikan dalam manifesto pilihan raya akan ditunaikan, dan bukannya bertindak sebagai badan eksekutif.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman itu turut dianggotai oleh Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Mahfodz Mohamad, Asmuni Awi, dan juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa ketika sidang media selepas di Ibu Pejabat Agung PAS di sini berkata, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya berperanan memberikan pandangan kepada pentadbiran negeri yang dikuasai PAS, termasuklah juga negeri pimpinan Pakatan

Rakyat bagi membolehkan manifesto pilihan raya mereka akan dapat dilaksanakan.

“Tujuan penubuhan Jawatankuasa Pemandu ini adalah bagi pimpinan pusat memberikan pandangan dan pendapat serta menerima pandangan daripada kepimpinan negeri untuk melaksanakan segala janji yang dibuat di dalam manifesto yang dikeluarkan untuk pilihan raya.”

“Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk campurtangan urusan pentadbiran negeri, hanyalah bertindak sebagai penasihat,”katanya dan menegaskan penubuhan jawatankuasa tersebut bukan semata-mata kerana krisis di Kedah.

Tambahnya lagi, nasihat dan pandangan yang diberikan oleh jawatankuasa berkenaan adalah selaras dan tidak bercanggah dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri.

“Manifesto ada dua jenis, pertama untuk jangka masa pendek seperti penurunan cukai bagi negeri, dan yang keduanya manifesto jangka masa panjang, seperti mewujudkan peluang pekerjaan, jawatankuasa ini berperanan untuk memberikan pandangan bagi pelaksanaan manifesto,” katanya.

Selain itu, menurut Mustafa, kesemua ahli jawatankuasa yang dilantik itu juga tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat pentadbiran negeri.

PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu sejak 1990, dan kekal untuk negeri-negeri yang dikuasai mereka.

Jawatankuasa itu bagaimanapun dihentikan pada 2008 setelah keadaan pada ketika itu sudah stabil.

Bagaimanapun ketika mesyuarat berkenaan krisis di Kedah baru-baru ini, Mustafa mengumumkan jawatankuasa tersebut akan dihidupkan semula bagi memberikan pendapat dan nasihat kepada negeri pimpinan mereka.

Tiada ulasan: