Selasa, 13 Mac 2012

NFC: Jangan dakwa sekarang, bebaskan kemudian

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan Umno BN agar membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani penyalahgunaan wang RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi, penggerak utama di sebalik pendedahan demi pendedahan dalam skandal melibatkan projek penternakan lembu milik keluarga Shahrizat itu mahu melihat Perdana Menteri memberi perhatian kepada ‘isu utama’ iaitu penyalahgunaan wang rakyat.

“Datuk Seri Najib Razak belum memberi maklum balas. Kita akan terus desak kes ini sehingga wang RM250 juta diperolehi semula,” kata Rafizi kepada portal The Malaysian Insider semalam.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan kerajaan Umno BN untuk memastikan kes itu bukan sekadar sandiwara untuk mengaburi mata rakyat sebelum pilihan raya semata-mata.

“Saya harap ini bukan sandiwara dakwa sekarang sebelum pilihan raya dan bebaskan mereka di kemudian hari,” kata Rafizi.

Semalam, suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat.

Dua pertuduhan pertama itu adalah atas kesalahan menggunakan RM9,758,140 dana National Feedlot Corporation (NFC) untuk membeli dua unit kondominium di kompleks One Menerung, di Bangsar, pada 2 dan 4 Disember, 2009.

Sekiranya disabitkan kesalahan, seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dua puluh tahun dengan sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan.

Kesalahan berikutnya pula membabitkan pemindahan RM40 juta dana NFC kepada National Meat ands Livestock Corporationgara, dari 5 Mei hingga Nov 16, 2009.

Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 pula membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30 ribu bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S.M Komathy Suppiah.

Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Dzulkifli Ahmad, Awang Armadajaya Awang Mahmud and Azimul Azam.

Salleh diwakili peguam Badrul Munir Bukhari, Datuk Ahmad Reza Abdullah, Y. Sheelan dan Wan Azmir Wan Majid.

Tiada ulasan: