Sabtu, 24 Mac 2012

Nelayan Pengerang dakwa rugi lebih ½ pendapatan

Abdul Rahim Sabri & Lee Long Hui

Sejak projek tambakan laut dan kewujudan pelantar minyak untuk projek Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor, beberapa nelayan sekitar mendakwa pendapatan mereka terjejas sehingga RM2,000 sebulan.

Penduduk di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Kapal berkata, kehidupan mereka tidak ceria lagi kerana biasanya mereka mampu mendapat RM3,000 sebulan tetapi kini hanya RM1,000 sahaja sejak projek itu dijalankan.

Ini kerana, kata mereka, projek itu menyempitkan laluan menangkap ikan, mengeruhkan air, mengeluarkan bunyi bising yang menyebabkan ikan lari selain wujudnya sempadan dan kawasan larangan menangkap ikan.

"Selalunya kita mendapat antara 70 hingga 80 kilo, (itu pun) kalau ada ikan.... Projek di sana ada kapal korek, kapal pasir, ikan tak berani ke situ, (jadi) memang terjejas pendapatan kita.

"Kita nak menjaring (di situ) tak boleh. Mereka letak boya, jadi jaring tak boleh berjalan. Nelayan mengeluh. Tempat laluan (ikan) dah terjejas habis," kata Wan Mustapha Wan Harun, nelayan dari Kampung Jawa.

Bahkan, faktor cuaca juga menjadi penentu kepada hasil tangkapan, jelas Wan Mustapha, 57, yang ditemui bersama empat nelayan lain di sebuah kedai makan yang mengadap Selat Tebrau.

'Kali terakhir turun tahun lepas'

Rakan-rakannya – Isa Abdul Hamid, Sahlan Khairudin, Rahmat Sudin dan Khalid Ahmed – yang bersetuju dengan apa yang diutarakan rakannya itu.

Bercakap dalam temubual dengan Malaysiakini Ahad lalu, Wan Mustapha berkata, projek itu juga menyebabkan kerosakan kepada alatan menangkap ikan mereka, terutama jala.

Kos memperbaikinya pula, menurutnya lagi, mencecah RM200 setiap satu dan memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Wan Mustapha – yang menjadi nelayan sejak berumur 15 tahun – berkata, untuk mendapatkan jala baru pula kosnya agak mahal apabila mereka perlu menyediakan kira-kira RM5,000 untuk memperoleh jaring seluas 15 utas.

NONE"Yang dibawa ke laut sebanyak lapan keping... Kalau koyak-koyak, nak menyelam pun tak sampai ke dasar," kata Isa mencelah.

Sementara itu, nelayan Cina dari Kampung Sungai Kapal Seng Kwee Teck, 40, berkata dia kini tidak ke laut sejak akhir tahun lalu, ekoran projek tambakan laut itu yang menyebabkan ikan semakin kurang.

"Sekarang duduk di rumah, tak buat apa. Kali terakhir menangkap ikan ialah akhir tahun lepas," katanya.

Tiada ulasan: