Rabu, 21 Mac 2012

Najib digesa umum PRU13 lebih awal

Jamilah Kamarudin

"Tidak seperti di negara kita, di negara-negara lain orang sudah tahu bila pilihan raya akan diadakan setahun lebih awal," kata Dato' Mahfuz Omar.


Sekitar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digesa supaya mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal bagi membolehkan rakyat merancang aktiviti tahunan mereka.

Ahli Parlimen Pokok Sena Dato’ Mahfuz Omar hari ini berkata tindakan itu perlu bagi membolehkan orang ramai merancang aktiviti tahunan mereka supaya tidak bertembung dengan tarikh PRU13.

“Tidak seperti di negara kita, di negara-negara lain orang sudah tahu bila pilihan raya akan diadakan setahun lebih awal.

“Di negara kita tarikh PRU menjadi teka-teki dan ada khabar angin mengatakan PRU13 pada Jun yang mungkin berlaku pada cuti sekolah.

“Jadi pada saya sepatutnya Perdana Menteri harus mengumumkan lebih awal paling tidak tiga hingga enam bulan awal,” kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Hak rakyat

Menurut beliau, cadangan itu bukannya untuk kepentingan parti sebaliknya lebih kepada hak rakyat yang layak mengundi untuk
menunaikan tanggungjawab mereka sebagai daftar pemilih.

“Ini bukan isu parti kerana dari segi persiapan, kita telah pun bermula. Tapi apa yang Najib dan Suruhanjaya Pilihanraya lupa ialah
rakyat, rakyat perlu buat persiapan sebab rakyat sudah ada aktiviti kehidupan mereka sepanjang tahun.

“Sebab itu saya bimbang jika diadakan pada musim cuti persekolahan ini, ini menafikan hak rakyat yang akan mengerjakan Umrah sebab
selalunya cuti panjang ini umat Islam yang mengambil peluang kerjakan Umrah dan sebahagian mereka sudah menempah tiket dan pakej daripada agensi-agensi Umrah. Sudah tentu jumlah mereka yang kerjakan Umrah ini ribuan.

“Bukan sahaja Islam, orang bukan Islam juga mungkin telah membuat rancangan untuk melancong bersama keluarga. Bilangan mereka pasti mencapai beribu-ribu orang. Mereka juga mungkin telah menempah tiket. Jika dibuat pada bulan Jun, bagaimana mereka mahu membatalkan tiket, sudah tentu mereka akan didenda,” katanya.

Tambahnya lagi, pada musim cuti persekolahan ramai orang telah merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan yang sudah tentu akan menyulitkan orang ramai sekiranya PRU13 berlaku ketika itu.

“Perdana Menteri haruslah berani mengumumkan bila PRU13 akan diadakan untuk kemudahan rakyat di negara ini,” katanya.

Najib sebelum ini berkata beliau tidak dapat mendedahkan tarikh PRU13 kepada umum buat masa ini walaupun mengetahuinya.

Tiada ulasan: