Sabtu, 31 Mac 2012

Mustafa Ali Sahkan PAS Akan Tukarkan Anwar Ibrahim Selaku Ketua Pembangkang

KELAB GREENBOC

Kita memang cadang nak tukar Ketua Pembangkang - Mustafa


KUALA TERENGGANU: Menjawab soalan sama ada Pakatan Rakyat (PR) bersedia menukar Ketua Pembangkang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, ya.

“Selepas pilihan raya ke-13, kita memang nak Datuk Seri Anwar Ibrahim digantikan oleh Datuk Seri Najib atau Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Pembangkang,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Mustafa berkata petang tadi, beliau ditanya wartawan daripada media perdana mengenai tindakan seterusnya yang akan dilakukan Pakatan Rakyat sekiranya Anwar berjaya dilucutkan jawatan di parlimen oleh impeachment yang cuba dibawa Datuk S Nallakaruppan dan peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dalam permainan politik kuning Umno terbaru terhadap Anwar dalam isu biseksual.

Apabila wartawan tersebut bertanya samada PR bersedia menukar Ketua Pembangkang sekiranya berlaku, Mustafa yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Pa memilih untuk menjawab secara sinis soalan nakal beliau dengan menyatakan setuju bahawa Anwar digantikan dengan Najib dan Muhyiddin sebagai Ketua Pembangkang selepas PRU13.

Terdahulunya, Shafee berkata usul yang dikemukakan Nalla akan dibawa ke jawatankuasa disiplin parlimen bagi membolehkan Anwar digantung atau mengosongkan kerusi itu.

Membalas tindakan Nalla dan Shafee, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata pengusulan pelucutan jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang menandakan kedua-dua mereka jahil undang-undang.

“Tiada peruntukan atau rujukan kes untuk pelucutan jawatan di Dewan Rakyat. Di England, kali terakhir ia dipakai pada 200 tahun dahulu dan kini sudah lapuk. Rasional pelucutan jawatan adalah untuk menjamin kebertanggungjawaban menteri dan eksekutif dalam pentadbiran. Adanya usul undi tidak percaya, jawatankuasa terpilih dan soal jawab tertutup parlimen menjadikan prosedur ini bahan sejarah.

“Contoh Bill Clinton yang digunakan Shafee juga menunjukkan beliau jahil akan mekanisme pelucutan jawatan di Amerika, yang diguna untuk memecat anggota Kerajaan Persekutuan seperti Presiden,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata tiada peruntukan untuk usul melucutkan jawatan Anwar atas persoalan peribadi dan bukan salah laku beliau di Dewan Rakyat samada dari segi pertuturan dan tindakan.

“Tiada mekanisme untuk itu. Dalam standing orders, pun tak ada,” kata beliau di lobi parlimen. -HD

Tiada ulasan: