Selasa, 6 Mac 2012

Memo tolak kadar tol EDL diserah pada PM esok

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Satu memorandum bantahan mengenai cadangan kadar tol Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) akan dihantar kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya jam 10 pagi esok.

Pengerusi Kempen ‘Tolak-EDL’, Steven Choong memaklumkan, 10 wakil NGO dan parti politik dari Johor Bahru, antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) akan menyertai penyerahan memo berkenaan.


“Ada 15,000 tandatangan bantahan penduduk semenjak kempen dilancarkan 17 Januari lalu, termasuk petisyen ‘online’

“Kami difahamkan Najib sendiri akan merasmikan tol itu dalam masa terdekat, sedangkan penduduk Johor Bahru tidak setuju dengan kadar tersebut. Perkara ini tidak pernah dibincangkan.

“Kami juga akan bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN untuk serahan dokumen dan akan membawa isu ini dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula 12 Mac,’ kata Steven yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN.

EDL dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Dengan bayaran tol RM6.20 sehala bagi jarak 8.1 kilometer menjadikan EDL lebuh raya termahal di Malaysia.

Manakala purata 60,000 kenderaan persendirian berulang alik ke Singapura setiap hari menggunakan EDL membolehkan pemegang konsesi mengutip RM744,000 sehari, tidak termasuk kenderaan perdagangan dan awam.

MRCB turut diberikan hak untuk mengkaji semula kadar tol setiap lima tahun dengan tempoh pegangan konsesi selaama 34 tahun.

Tiada ulasan: