Khamis, 15 Mac 2012

MB Selangor bawa isu air ke forum antarabangsa


MALAYSIA KINI
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membawa pertikaian perkhidmatan air di negeri itu ke peringkat antarabangsa dengan mendedahkan bagaimana penswastaan di Malaysia gagal kerana disalahgunakan untuk memanfaatkan golongan rentier.

NONEMenurut kenyataan akhbar yang dari pejabatnya, Abdul Khalid pada Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis berkata, walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun ini tidak berlaku di Malaysia.

“Ini contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan apabila keuntungan individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik,” katanya.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing.

“Namun di Selangor, syarikat yang dipilih tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna.

“Separuh daripada 13 negeri berdepan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya,” katanya yang menambah, kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

“Perjanjian ini sepatutnya memasukkan fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat.

“Dalam kes kita, penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini,” katanya.

Abdul Khalid juga dijadualkan untuk bercakap mengenai isu yang sama dalam satu lagi forum di London esok.

Tiada ulasan: