Jumaat, 2 Mac 2012

MB: RM2.71b Untuk Umno Selangor Bukti Penyelewengan Dana Rakyat

Nazli Ibrahim



SHAH ALAM: Tindakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak menyalurkan RM2.71 bilion kepada Umno Selangor membuktikan amalan penyalahgunaan wang rakyat secara berleluasa digunakan untuk kepentingan sempit politik.

Tindakan tersebut juga sekali gus memberi gambaran usaha terdesak Umno untuk menawan Selangor sehingga sanggup membelakangkan kepentingan dana awam yang sebegitu besar.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu wawancara eksklusif bersama TVS pagi tadi.

Menurut beliau wang yang digunakan oleh Umno untuk menawan negeri Selangor merupakan dana pembayar cukai dan mestilah diurus dengan sempurna.

“Ini adalah satu contoh usaha kerajaan pusat ini membelakangkan rakyat. Rakyat bukan hanya BN, bukan hanya Umno.

“Ini kesalahan kerajaan (pusat) kerana duit cukai bukan untuk parti politik.

“Duit kerajaan mesti disalurkan dengan tatacara dan tatakelola yang betul bagi pentadbir negeri dan negara.

“Cara yang dibuat oleh (Datuk Seri) Najib, Umno dan BN ini adalah sesuatu yang salah,” kata beliau dalam wawancara yang diadakan di Pejabat Menteri Besar itu sendiri.

Khalid turut menggesa rakyat negara ini agar menolak BN dalam pilihan raya akan datang ini kerana tidak mampu mengambil tindakan yang tepat.

“Untuk membetulkan ini kita harus ubah kerajaan sebab mereka sudah tak tahu mana yang betul, mana yang salah.

“Jadi, kalau satu kerajaan tak tahu mana yang betul dan mana yang salah, patut ditukar supaya dapat diberi peluang kepada pihak yang dapat menjalankan usaha ini cara yang betul.

Menurutnya lagi rakyat negeri Selangor hari ini semakin matang dan tidak boleh dirasuah dengan peruntukan RM2.71 billion itu.

“Rakyat tidak boleh dirasuahkan dan saya percaya rakyat Selangor sudah lebih matang.

“Mereka akan terima peruntukan yang diberi sebab mereka tahu itu adalah duit cukai, tetapi saya berpendapat dan pasti mereka tidak akan memilih BN dan Umno,” ujar beliau.

Pada 19 Disember lalu, Perdana Menteri Merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

Susulan dari itu, Abdul Khalid membidas tindakan tersebut kerana memberikan wang rakyat yang sebegitu besar kepada Umno Selangor tanpa melalui kerajaan negeri.

Menurut Khalid wang tersebut perlu dipantau dan diaudit secara berhemah bagi memastikan wang tersebut memenuhi inspirasi pembangunan yang dirancang kerajaan negeri dan keperluan rakyat Selangor.

Bagaimanapun peruntukan tersebut disalurkan melalui saluran parti politik Umno dan BN sekaligus menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan politik.

1 ulasan:

Sabina45 berkata...

Inilah yang dikatakan rasuah tetapi apabila Najib buat tidak rasuah dimana letaknya undang-undang SPRM yang dikatakan tidak memilih bulu itu .Sudah terang yang duit rakyat awam digunapakai untuk parti ,bukankah negeri selangor itu ada ketua kerajaan jiak hendak memberi kepada rakyat berilah atas tiket kerajaan tak usah kira siapa yang memerentah kerana awak najib adalah perdana menteri malaysia , dan negeri selangor itu berada dalam bidang kuasa kamu ,awatlah bengong sangat ,kalau nak bagi dekat orang parti guna duit parti dan kumpul semua orang umno saja dan agihkan duit parti itu ,bukan dok nak bagi kepada semua orang ,yang boleh agihkan kepada semua orang adalah ketua kerajaan negeri bukan ketua UMNO negeri .Aku malu nak mengaku najib sebagai PM aku sia-sia aku pangkah dia dulu