Selasa, 13 Mac 2012

Lagi-lagi salah guna kuasa terang-terangan

Oleh Adil Mat Selamat


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar baru-baru ini diberitakan mahu semua Ahli Parlimen UMNO-BN untuk segera mengagihkan peruntukan RM10 juta di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) dan peruntukan skim perumahan bagi nelayan bernilai RM300 juta di kawasan masing-masing sebelum pilihanraya umum ke-13.

Menurut laporan Malaysiakini, Noh Omar turut berkata “Ini titik sentuh yang kita nak buat cepat. Duit belum turun, tapi saya minta KSU (ketua setiausaha) untuk guna duit kementerian dulu,” katanya pada taklimat bagi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di Kuala Lumpur malam tadi.

Jika juak-juak UMNO masih bisul mindanya dengan menganggap ini bukan salah guna kuasa juga, maka kita serahkan pada rakyatlah untuk menilai kerja politik orang yang gila kuasa ini.

Duit kementerian sumbernya adalah cukai yang dikutip daripada rakyat. Bagaimana mungkin seorang menteri berkuasa mutlak untuk memutuskan bagaimana duit itu diagih-agihkan?

Yang disebut sebagai ‘duit belum turun’ itu apa pula maknanya? Adakah duit dari langit belum turun atau duit dari tauke-tauke besar (kroni) UMNO belum diterima? Hingga begitu mudah mereka menggunakan dana awam untuk kepentingan politik mereka.

Menteri kabinet menipu, ditipu atau buat-buat tak tahu?

Jika seorang menteri melaksanakan kerja dan membuat keputusan secara ‘sembarangan’ begini, apakah Malaysia juga ditadbir sedemikian rupa?

Jika inilah modus operandinya, maka tidak hairanlah Najib Razak sewenang-wenang boleh memberikan pelbagai peruntukan untuk rakyat dengan jumlah yang sangat besar. Kita tak pasti apakah kabinet tahu tentang peruntukan ini sebelum ia diumumkan.

Malah contoh ini juga membolehkan kita membayangkan bagaimana menteri-menteri kabinet menipu dan ditipu.

Contoh paling mudah adalah skandal NFC, bagaimana kabinet yang meluluskan projek ini tidak tahu bahawa pengerusi NFC adalah suami Sharizat? Malah mereka tidak tahu bagaimana dana awam telah disalahgunakan dan menyimpang dari tujuan asal. Apakah mereka tidak tahu atau buat-buat tak tahu?

Kita juga masih ingat Ling Liong Sik, bekas menteri pengangkutan, dituduh di mahkamah telah menipu menteri kabinet dalam urusan PKFZ yang melibatkan kerugian berbilion-bilion duit rakyat. Adakah kes ini juga sama dengan kes NFC?

Bagaimana pula dengan kes kerugian syarikat MAS, adakah menteri kabinet tidak pernah tahu apa-apa tentang prestasi perniagaan MAS dan reputasi Tajudin Ramli?

Semua peristiwa ini melibatkan integriti kabinet kerajaan Malaysia. Mereka memutuskan untuk memberi wang rakyat kepada syarikat atau individu yang mungin mereka sendiri tahu akan gagal.

Kerajaan caca-marba

Dalam semua kes-kes ini, yang ditipu adalah menteri-menteri kabinet, dan yang menipu adalah menteri kabinet dan juak-juaknya juga, bukan orang lain atau anasir asing. Inilah namanya kerajaan caca-marba. Mereka sama-sama menipu antara satu sama lain dan akhirnya, pihak yang benar-benar ditipu adalah rakyat.

Menteri-menteri kabinet ini harus juga didakwa kerana kecuaian memberi dan memantau projek atau dana awam yang telah diberikan. Kecuaian itu ada hukumannya, hukuman terbaik dan terpantas adalah menerusi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beginilah antara bentuk penipuan dalam pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Malah kerana permainan tipu-menipu inilah maka lembaga-lembaga penting seperti Polis, SPR, Kastam dan SPRM juga telah disalahguna atau dipergunakan hingga akhirnya agensi ini gagal melaksanakan tugas dengan betul untuk rakyat.

Contoh yang ditunjukkan oleh menteri seperti Noh Omar amat bertentangan dengan contoh yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Islam terdahulu, termasuk Khalifah Umar Abdul Aziz yang begitu cermat dengan wang rakyat sampaikan sanggup tidak menjamah makanan mewah selagi masih ada rakyatnya hidup melarat.

Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memecahkan penguasaan politik UMNO dengan meyokong perjuangan Pakatan Rakyat demi survival Malaysia yang tercinta.

Memecahkan tembok hegemoni kuasa politik UMNO bermakna rakyat Malaysia mahukan sebuah negara yang adil dan telus. – Roketkini

Tiada ulasan: