Selasa, 6 Mac 2012

K’jaan PR bersih, siasat ‘terjun ikut tangga’

Khairil Abdul Rahim,


TEMERLOH:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin rakyat bijak membuat penilaian untuk memilih kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang setelah melihat perbandingan antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, walaupun PR hanya mentadbir di empat buah negeri namun rakyat dapat melihat dengan jelas prestasi yang ditunjukkan seperti diakui Ketua Audit Negara dalam laporannya.

(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan montaj Pelancaran Dana PRU 13 PAS Pahang.)

Tambahnya, ini dapat dibandingkan dengan kerajaan BN yang terdedah satu demi satu penyelewengan, salah guna kuasa, salah tadbir urus dan rasuah.

“Semua kerajaan PR bersih, percayalah kalau ada sedikit rasuah dapat dihidu, kita percaya pihak berkuasa akan ‘terjun ikut tangga’ untuk datang menyiasat.

“Tapi apa yang diketahui umum keadaan ekonomi dan sosial negeri-negeri yang ditadbir PR terus berkembang dan dipuji audit negara.

“Jadi ini membuktikan kerajaan PR bersih, justeru kita percaya rakyat semakin matang dapat membezakan untuk membuat pilihan pada PRU akan datang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata demikian dalam ceramahnya pada program Munajat Menuju Kemenangan & Pelancaran Dana PRU di Darul Amin Sungai Gau di sini, kelmarin.

Selain Abdul Hadi turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.

Abdul Hadi sebelum itu melancarkan gimik montaj Dana PRU PAS Pahang disaksikan kira-kira 8,000 yang hadir.

Sebanyak RM70,000 berjaya dikutip dalam majlis itu saja daripada sumbangan para dermawan dan PAS kawasan-kawasan untuk tabung PRU.

Pada sebelah petangnya Abdul Hadi sempat menyampaikan amanat khas kepada jentera pilihan raya PAS Pahang disusuli Solat Maghrib di dataran terbuka, Solat Hajat, zikir taubat dan munajat sehingga Solat Isyak.

Dalam pada itu Abdul Hadi yang baru pulang dari lawatan kerja ke Eropah menceritakan, ketika sesi dialog di Bosnia beliau ditanya bagaimana menguruskan ahli-ahli PAS yang mempunyai label tertentu seperti Erdogan, Erbakan atau mempunyai kecenderungan Revolusi Iran, Parti Keadilan Mesir dan sebagainya.

“Saya jawap orang-orang muda biasa mudah terpengaruh dengan perkembangan Islam di seluruh dunia. Saya kata, orang-orang PAS boleh melihat perkembangan di negara-negara lain secara positif tetapi mestilah terjemahkan perjuangan itu bersesuaian dengan perjuangan Islam di negara ini,” jelasnya.

Mengenai PRU, Abdul Hadi berkata PAS akan meletakkan calon bukan Islam di kawasan majoriti bukan Melayu dan perkara tersebut telahpun dibahas oleh Majlis Syura Ulamak.

“PR boleh mendukung semua bangsa selaras dengan keadilan Islam itu sendiri. Sudah tentu berbeza dengan parti-parti dalam BN yang diwujudkan berdasarkan bangsa sehingga memainkan isu perkauman apabila berdepan dengan bangsa masing-masing untuk menarik undi memenangi pilihan raya,” jelasnya.

Tuan Ibrahim pula dalam ucapannya sebelum itu mengecam tindakan kerajaan yang baru mahu mencari tempat pelupusan sisa prosesan nadir bumi Lynas sedangkan lesen operasi telah dikeluarkan.

Beliau mengulas lapran akhbar harian semalam yang memetik kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak akan mencari lokasi jauh dan selamat untuk pelupusan sisa kilang Lynas.

“Saya cadangkan hantar saja sisa itu ke Pekan (kawasan parlimen Najib) dan kalau penduduk marah katakan tak bahaya,” katanya sambil disambut ketawa orang ramai.

Tambahnya, dalam masa dua tahun saja kilang Lynas akan menghasilkan 1.6 juta meter padu sisa jadi mana tempat yang nak dikambuskan dan berapa ribu lori yang diperlukan untuk pengangkutan.

Dalam pada itu Leong Ngah Ngah yang berceramah kemudian kesal dengan MCA yang tidak henti-henti memainkan isu perkauman dengan mengulang-ulang cerita di Perak yang mana DAP yang banyak kerusi tetapi PAS yang menjadi Menteri Besar.

“Mereka bukan tidak tahu bahawa telah menjadi undang-undang tubuh negeri tersebut Menteri Besarnya mesti Melayu.

“Kita percaya Umno yang minta MCA mainkan isu perkauman. Nampaknya DAP lebih faham politik baru dan kehendak generasi sekarang dan MCA terus ketinggalan sejak berkawan dengan Umno,” sindirnya.

Leong yang baru pulang dari Medan berkata, beliau melancung ke sana dengan harga tiket 10 sen iaitu yang ditempahnya 8 bulan lalu melalui Air Asia.

“Jadi saya hairan bagaimana MAS sebuah syarikat kerajaan boleh rugi jutaan ringgit sedangkan Air Asia yang bagi tiket 10 sen pun boleh untung.

“Ini hanya simbolik menggambarkan kerajaan BN lemah dalam pentadbiran dan ekonomi sebab itulah hutang Malaysia sekarang mencecah RM450 bilion,” katanya.

7 ulasan:

Hinamori berkata...

Bersih la sangat isu salah guna kuasa pasir di Selangor

Tanpa Nama berkata...

PR saja merasakan mereka bersih, tapi bagi rakyat tidak.

Sanih Alias berkata...

Mestilah PR akan cakap bersih, kalau dia cakap buruk sudah pasti rakyat tidak akan menyokong mereka. Jadi terpaksa dengan egonya mengatakan sedemikian.

Tanpa Nama berkata...

kerajaan BN dan PR masing2 ada kelemahan. kalau mahu cari kesalahan satu persatu memang tidak akan habis. apa yang penting sekarang ialah mereka sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada dan bila ada kritikan, terima secara terbuka.

running man berkata...

Politik yang 100% tidak pernah wujud. Jangan jadi hipokrit.

Tanpa Nama berkata...

takkan la Hadi mahu cakap PR kotor.. sama juga ketika beliau menghina penduduk asli di sarawak ketika pilihanraya di negeri itu.. bila penduduk Sarawak tidak mengundi mereka, dia hina pula penduduk Sarawak kononnya mereka masih pakai cawat dan tidak bertamadun.. beliau sanggup menghina pengundi daripada mengakui kesilapan dan kelemahan mereka..

Tanpa Nama berkata...

jika benar Pakatan bersih dan cekap, tidak akan timbul kes2 seperti skandal pasir di selangor, merobohkan madrasah di Kedah, masalah air bersih di Kelantan dan merampas serta merobohkan rumah perkampungan melayu di Pulau Pinang..