Jumaat, 30 Mac 2012

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang sambut saman Guan Eng

SINAR HARIAN

Lim Guan Eng

GEORGETOWN - Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin berkata, beliau menyambut baik hasrat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung isu penjualan tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara di sini.

Katanya, menerusi tindakan undang-undang itu kelak, isu penjualan tapak masjid dan tapak sekolah berkenaan dapat didedahkan dalam mahkamah.

"Biar rakyat negeri ini tahu apa sebenarnya kerajaan negeri telah buat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik Lim sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana didakawa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat mengenai isu penjualan tanah berkenaan.

Shaik Hussein berkata, sehingga sekarang Lim masih tidak menjawab dakwaan bahawa tapak masjid dan tapak sekolah yang diluluskan untuk fasa satu Bayan Mutiara itu telah dijual sebaliknya Ketua Menteri itu telah mengalih isu penjualan tanah itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan isu perkauman.

"Persoalan utama adalah isu penjualan tapak masjid dan tapak sekolah. Kalau betul telah jual, akuinya dan bagi tapak baru untuk bina masjid di kawasan yang sama dan jangan hendak tutup isu berkenaan," katanya.

Shaik Hussein berkata, Pemuda Umno Pulau Pinang tidak akan berdiam berhubung isu itu dan akan terus bersuara sehingga kerajaan negeri mengembalikan tapak masjid dan tapak sekolah di Bayan Mutiara. - Bernama

Tiada ulasan: