Selasa, 13 Mac 2012

Kerajaan negeri Pakatan dikritik kerana telus, terbuka dan bertanggungjawab

Roketkini.com



GEORGE TOWN – Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah berunding dengan rakyat atau mana-mana NGO sebelum melaksanakan projek pembangunan.

Justeru, tiada rundingan awam dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini apabila ia mahu membina Jambatan Pulau Pinang yang kedua.

Sebaliknya, apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telus dan bertanggungjawab serta sentiasa mendengar pandangan awam, termasuk NGO, ia dikritik lebih teruk daripada kerajaan negeri BN sebelumnya yang tidak pernah membuat input dan rundingan awal dengan masyarakat awam.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengakui kerajaan negeri pimpinannya tidak dapat memuaskan hati semua pihak, termasuk NGO terutamanya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), tentang empat projek infrastruktur yang dicadangkan demi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu ekonomi negeri.

Beliau menjelaskan CAP bukanlah satu-satunya organisasi yang menentang empat projek infrastruktur tersebut.

“BN dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menentang pembinaan terowong bawah laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam pada 17 November 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian berikutan kenyataan Presiden CAP SM Mohamed Idris yang baru-baru ini menyelar kerajaan negeri Pulau Pinang kerana tidak berunding dengan NGO sebelum melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri tersebut.

Menurut beliau, Exco kerajaan negeri telah pun memutuskan untuk melaksana projek-projek tersebut melalui tender terbuka pada 19 Oktober 2011 selepas rundingan awal dijalankan sejak 29 April 2011.

“Adalah tidak benar untuk CAP mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengadakan rundingan awam,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu.

Menurut beliau lagi, dua sesi rundingan pada 16 Oktober 2011 dan 19 November 2011 dijalankan olehnya, dan CAP diwakili oleh Rudhrapathy Vijaya atau lebih dikenali sebagai Ravi, dan wakil CAP itu tidak menyuarakan sebarang bantahan.

Guan Eng juga dengan rasa rendah diri mengingatkan SM Idris bahawa proses yang beliau telah gariskan untuk tender telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pakatan ketika memutuskan ada empat projek infrastruktur itu diteruskan atau tidak. – Roketkini.com

Tiada ulasan: