Isnin, 26 Mac 2012

Kepercayaan ‘karut’ kaum India

Jika diteliti, akan nampak alasan logik di sebalik setiap daripadanya.



Budaya kaum India kaya dengan pelbagai pantang-larang, amalan dan kepercayaan. Kebanyakan kepercayaan ini bermula bersama-sama wujudnya konsep tamadun di Benua Kecil India. Kemudian, segala kepercayaan itu berkembang bersama-sama perkembangan zaman.

Masyarakat India di Malaysia merupakan generasi kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Namun, di negara bertuah ini, rata-rata kaum India masih dilabel sebagai “pendatang” bagi tujuan politik.

Apa pun, budaya dan kepercayaan nenek-moyang yang berasal dari Benua Kecil India masih berakar-umbi dalam jiwa kaum India di Malaysia dan menjadi jati diri yang dibanggakan. Begitu juga, banyak budaya India sudah meresap masuk ke dalam budaya Melayu melalui proses asimilasi sejak sebelum kedatangan Islam.

Kebanyakan “kepercayaan” dianggap tidak logik oleh generasi muda. Lalu, dinamakan sebagai “kepercayaan karut”. Bagaimanapun, jika diteliti, akan nampak bahawa sesungguhnya terdapat alasan yang logik di sebalik setiap kepercayaan.

Kepercayaan dalam budaya India biasanya dikaitkan dengan dewa-dewi, unsur alam, unsur jahat seperti hantu, roh dan penunggu; serta kesan-kesan negatif.

Penampilan unsur-unsur seperti inilah yang menyebabkan masyarakat moden – khususnya generasi muda – mula menganggap kepercayaan kaum India sebagai tidak lebih daripada sekadar “kepercayaan karut yang tidak boleh diterima akal rasional”.

Sesungguhnya, memang tidak ada sebarang bukti konkrit dapat dikemukakan bagi menyokong hujah dalam kepercayaan yang menjadi amalan kaum India sejak zaman dahulu.

Misalnya, masyarakat India percaya bahawa sekiranya seorang makan nasi di tempat yang gelap, maka hantu, penunggu atau roh akan sama-sama menjamah makanan itu. Akibatnya, individu tadi tidak akan kenyang serta tidak akan mendapat zat daripada makanan kerana telah diserap oleh “orang kedua” tadi.

Pasti sahaja tidak ada kejadian sebenar yang dapat dijadikan bukti untuk menyokong hujah dalam kepercayaan ini. Misalnya, belum ada individu dalam masyarakat yang membuat kenyataan bahawa dirinya kurus-kering dan tidak pernah kenyang kerana setiap kali dia makan di tempat gelap, ada “hantu” yang mencuri makanannya.

Kepercayaan yang menjadi amalan dalam masyarakat India juga sukar dibuktikan secara saintifik. Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah bahawa “amalan” itu tidak ada alasan saintifik. Sebaliknya “kepercayaan (karut)” di sebalik amalan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagai contoh, masyarakat India percaya bahawa sekiranya pensel diasah pada kedua-dua belah, maka ibu dan bapa dalam keluarga berkenaan akan sentiasa bergaduh. Atau kepercayaan bahawa perbuatan bersiul pada waktu malam akan mengudang ular masuk ke dalam rumah.

Tentu sekali “kepercayaan” ini tidak dapat dibuktikan menggunakan teori sains! Sebab itulah juga generasi muda – atau kelompok yang menganggap diri mereka sudah “moden” – ketara menganggap segala “kepercayaan” ini sebagai “kepercayaan karut”.

Berfikiran moden

Kalau kita teliti, setiap kepercayaan dalam masyarakat India akan ada cerita di sebaliknya. Pasti ada hujah yang dikemukakan untuk semacam menyokong kepercayaan dan pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat berkenaan.

Sesiapa yang melanggar kepercayaan biasanya dikatakan akan menerima nasib buruk atau kesan negatif. Sebagai contoh, perbuatan mengasah pensel pada kedua-dua belah. Natijahnya adalah ibu bapa akan bergaduh.

Tentu sekali kanak-kanak tidak mahu melihat ibu bapa mereka bergaduh. Lalu, mereka disuakan dengan cerita yang menakutkan ini dengan harapan kanak-kanak berkenaan tidak akan mengasah pensel pada kedua-dua belah.

Bagi mereka yang makan di tempat yang gelap pula, mereka ditakutkan dengan cerita bahawa makanan mereka akan dikongsi bersama oleh hantu, roh atau penunggu. Akibatnya, secara logik, kanak-kanak tidak akan berani makan di tempat gelap dan tidak diterangi cahaya.

Bagi remaja dan kanak-kanak yang suka bersiul pada waktu malam, mereka ditakut-takutkan dengan “kepercayaan” bahawa perbuatan mereka akan membawa kesan negatif, iaitu ular akan masuk ke dalam rumah.

Setiap kepercayaan dalam masyarakat India pasti dikaitkan dengan cerita-cerita yang menakutkan. Bagi kepercayaan yang bernada positif pula, akan dikaitkan dengan cerita-cerita yang menggembirakan. Saya pernah menerangkan perkara ini menerusi sebuah makalah di majalah Dewan Agama & Falsafah (Mei 2004).

Misalnya, masyarakat India – khususnya yang beragama Hindu – percaya bahawa pada hari-hari perayaan seperti Tahun Baru, Deepavali, Ponggal, Onam dan Ugadi, setiap individu perlu membuka mata pada waktu subuh dan memandang apa-apa objek yang dianggap suci. Tindakan itu dikatakan akan membuatkan hidup mereka diberkati dengan kebahagiaan, kemewahan dan segala macam kebaikan.

Namun, seperti yang dikatakan tadi, rata-rata kepercayaan ini dianggap “karut” oleh generasi muda yang kononnya berfikiran moden. Mereka tidak dapat menerima alasan dan cerita yang dikemukakan oleh generasi terdahulu bagi setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat.

Pada masa sama, generasi muda ini sebenarnya masih tepu dengan kepercayaan. Bezanya, mereka menerima kepercayaan dari luar; sama ada daripada masyarakat luar atau dari negara luar.

Tanpa mereka sedari, generasi muda kaum India yang memperlekehkan kepercayaan dalam masyarakat mereka sendiri sebenarnya terpengaruh pula dengan kepercayaan masyarakat lain. Anehnya, kepercayaan dari luar juga memiliki unsur “karut” sebagaimana yang dikatakan terdapat dalam amalan masyarakat India.

Sebagai contoh, ada kelompok muda kaum India yang mengelakkan nombor atau angka 4 kerana terpengaruh dengan kepercayaan masyarakat Cina. Entah disedari atau tidak oleh generasi muda kaum India bahawa kepercayaan masyarakat Cina terhadap kecelakaan yang dibawa oleh angka 4 juga memenuhi kriteria “karut” sebagaimana yang dikatakan terhadap kepercayaan dalam masyarakat India.

Walau dalam masyarakat mana sekali pun, setiap amalan dan kepercayaan pasti ada penjelasan yang logik dan boleh diterima akal. Dalam masyarakat Cina, misalnya, angka 4 dikatakan membawa sial kerana sebutan angka “empat” hampir sama bunyinya dengan sebutan “mati”.

Penjelasan yang logik juga dapat dikemukakan bagi setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat India. Malangnya, generasi terdahulu melakukan kesilapan yang amat besar dengan tidak menerangkan “alasan rasional” ini kepada anak-cucu.

Orang tua biasanya hanya menceritakan kepercayaan (misalnya, jangan bersiul pada waktu malam) serta cerita yang menakutkan (misalnya, ular akan masuk ke dalam rumah). Mereka tidak menerangkan alasan rasional (misalnya, mengganggu orang yang mahu tidur atau berehat).

Lama-kelamaan, apabila kepercayaan itu disampaikan pula oleh generasi terdahulu kepada generasi terkemudian, yang tinggal hanyalah “cerita yang menakutkan” tanpa disertai “alasan rasional”.

Penjelasan logik


Maka tidak salah jika generasi muda yang berfikiran moden menganggap segala kepercayaan dalam masyarakat India sebagai “karut” dan tidak boleh diterima akal rasional.

Rata-rata mereka menolak kepercayaan dan amalan dalam masyarakat India kerana dikatakan tiada penjelasan saintifik serta tidak ada bukti terhadap “cerita yang menakutkan” itu.

Sepatutnya, generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran moden perlu berfikir secara rasional. Generasi terdahulu telah melakukan kesilapan dengan hanya menyampaikan “cerita yang menakutkan” bagi menyokong segala amalan dan kepercayaan.

Generasi muda perlu sedar bahawa walaupun tidak akan penjelasan saintifik atau bukti terhadap “cerita yang menakutkan”, namun pasti ada sebab mengapa nenek-moyang kita mewujudkan segala macam kepercayaan itu.

Setiap kepercayaan yang dianggap “karut” itu amat wajar diteliti secara rasional untuk mengungkapkan semula penjelasan logik yang tersembunyi di sebaliknya.

Sebagai contoh, kanak-kanak dinasihatkan supaya tidak mengasah pensel pada kedua-dua belah. “Cerita yang menakutkan” adalah bahawa ibu bapa akan bergaduh. Tiada penjelasan saintifik dan bukti konkrit bagi menyokong kepercayaan ini.

Generasi muda yang terpelajar sepatutnya menggunakan akal rasional untuk meneliti semula kepercayaan ini untuk memahami makna yang tersirat. Pasti sahaja perbuatan kanak-kanak mengasah pensel pada kedua-dua hujung boleh mengakibatkan dia tercucuk mata semasa menggunakan pensel berkenaan.

Jika kita makan di tempat yang gelap, kita tidak akan tahu apa yang kita suap ke dalam mulut. Mungkin ada serangga yang terjatuh ke dalam makanan. Atau mungkin kita akan tergigit cili padi. Itulah antara penjelasan logik mengapa masyarakat India tidak menggalakkan orang ramai makan di tempat gelap.

Kalau diteliti, setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat India mempunyai penjelasan yang logik dan rasional. Malah begitu juga halnya dengan kepercayaan dalam mana-mana masyarakat.

Kini, terpulang kepada kebijaksanaan generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran moden untuk mengkaji dan memahami rasional di sebalik setiap amalan dan kepercayaan itu.

Suatu hari nanti, mereka diharap mampu menyampaikan “cerita yang menakutkan” berserta “alasan logik serta rasional” di sebalik setiap “kepercayaan karut” dalam kalangan masyarakat India.

Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya sejak 1999.

Tiada ulasan: