Ahad, 4 Mac 2012

Kemelut Pas Kedah tidak jejas PR Kedah

ROSLINDA HASHIM

WanSallehPKR-
Lee Guan Aik
ALOR SETAR - PKR dan DAP Kedah yakin kemelut melanda Pas Kedah tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) Kedah, kerana ia hanya picisan masalah dalaman parti yang mampu diselesaikan secara baik.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Sallleh Wan Isa berkata, walaupun pihaknya mengambil sikap berkecuali dalam kemelut Pas Kedah, namun pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada Pas Pusat yang kini mengambil alih peranan Pas Kedah dalam menyelesaikan kemelut ini.

“Saya percaya rakyat masih memberi sokongan padu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, namun isu ini harus diselesaikan segera, memandangkan sejak Azizan mentadbir Kedah, beliau mendapat kepercayaan rakyat dengan baik,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak enak sekiranya kepercayaan itu dikhianati dengan kemelut melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam parti itu, selaku parti yang menerajui PR Kedah.

“Pas ketua kerajaan dalam PR Kedah, perlulah tunjuk contoh yang baik pada rakyat jika tidak mahu sokongan rakyat beralih pada pihak lain,” katanya.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik juga sependapat dan yakin rakyat bijak menilai kemelut yang disifatkan pertama kali melanda Pas Kedah.

“Saya percaya kemelut Pas Kedah ini tidak sesekali jejaskan kesepakatan dalam PR Kedah, malah tidak gugat persediaan kami untuk berdepan PRU13. Ianya dua perkara berbeza dan boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, DAP percaya kemelut ini akan diselesaikan secara baik hasil kebijaksanaan kepimpinan Pas Pusat.

“Ini hanya masalah dalaman Pas, sudah pasti mereka juga mahu ianya diselesai segera memandangkan PRU semakin hampir. Saya juga percaya rakyat tidak bimbang kemelut ini jejaskan pakatan, kecuali parti pembangkang di sini memutar belit isu itu untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Guan Aik berkata, pihaknya memberi sepenuh sokongan sekiranya Pas Pusat memutuskan sama ada kepimpinan Pas Kedah akan bertukar mahupun dikekalkan.

“Kita tiada masalah siapa ketuai Pas Kedah, yang penting kemelut berakhir dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: