Rabu, 14 Mac 2012

Kegagalan Piala Monsun Bukan Pembaziran

SABAH DAILY

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang mendedahkan sebenarnya penganjuran Piala Monsun sejak tujuh tahun lalu gagal meraih pulangan memberi tamparan kepada pemimpin kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Sekaligus, kenyataan terbuka Shabery menolak dakwaan kerajaan Umno/BN Terengganu bahawa Piala Monsun tidak membazir.

Pada tahun 2007, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri ketika itu, Datuk Mohamed Awang Tera dipetik berkata, kejohanan itu ternyata telah mampu meletakkan nama Pulau Duyong dan Terengganu khasnya di peta dunia sejak penganjuran sukan tersebut.

"Memang biasalah orang suka memburuk-burukkan kerajaan, lebih-lebih lagi dekat pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Bio Global Tech Sdn Bhd dan Luher Management Berhad.

Beliau berkata, kononnya, kejohanan kapal layar itu ditonton oleh hampir 1.2 bilion orang di seluruh dunia dan sekaligus telah memperkenalkan Terengganu di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti di Kuala Terengganu Rabu lepas yang antara lain turut membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penganjuran sukan itu yang dikatakan membazir dan tidak menguntungkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan itu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Mohamed berkata dakwaan itu tidak tepat kerana acara Piala Monsun adalah satu acara yang dilihat mampu meningkatkan kehadiran pelancong setiap tahun ke negeri ini terutama di waktu musim tengkujuh.

"Piala Monsun salah satu acara yang sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong yang datang ke Terengganu dan juga peningkatan pengunaan bilik hotel," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mendapat banyak manfaat daripada projek Teluk Warisan dan juga acara Piala Monsun manakala penduduk Pulau Duyong sendiri ditawarkan membeli kondominium rakyat dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran semasa.

Melalui marina yang dibina pula, beliau berkata ia telah berjaya menarik kapal-kapal masuk ke Sungai Terengganu.

Sebaliknya Bekas Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Duyong (Pekeduy) Muzafez Affyulzaifuzan Mohamad mendakwa ia adalah bohong semata-mata.

Beliau yang dihubungi Buletinonline berkata, apa yang berlaku sebenarnya, penganjuran Piala Monsun tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya penduduk Pulau Duyung.

Beliau yang merupakan anak jati Pulau Duyung berkata, kondominium atau pangsapuri yang dibina oleh kerajaan Umno/BN bukanlah dijual kepada penduduk kampung.

Begitu juga Marina yang dibina, tidak ada kapal-kapal yang masuk berlabuh dan kini terbiar egitu sahaja. -BO

Tiada ulasan: