Rabu, 21 Mac 2012

Karya Kemala diiktiraf terbaik

SERI Paduka menyampaikan Anugerah Sasterawan  Negara  kepada     Kemala sambil diperhatikan Muhyiddin dan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar,  di Kuala Lumpur, malam tadi.

SERI Paduka menyampaikan Anugerah Sasterawan Negara kepada Kemala sambil diperhatikan Muhyiddin dan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Oleh Faiza Zainudin

Sasterawan Negara terima RM60,000, ganjaran terbit 50,000 naskhah karya


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah malam tadi mengurniakan Anugerah Sastera Negara Ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara kepada penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala.

Ahmad Kamal yang diumumkan pemenang anugerah itu tahun lalu menerima wang tunai RM60,000 dan ganjaran untuk menerbitkan 50,000 naskhah karyanya atau kos cetakan bernilai maksimum RM500,000 dengan semua karya itu akan dibeli untuk diagihkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan seluruh negara.

Anugerah tertinggi sastera itu dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya bermutu tinggi.

Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Pemilihan anugerah dibuat berdasarkan penilaian mutu kerja sastera, sumbangan kreatif dan fikiran berkaitan dunia sastera dan kegiatan sasterawan secara berterusan yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera negara.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Terdahulu dalam ucapannya, Awang berkata, sastera kebangsaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya untuk orang Melayu saja.

Apa yang penting, katanya mesej, persoalan kemanusiaan, konteks persekitaran, alam sosial dan alam budaya setempat yang melatari karya itu.

“Mesejnya mestilah dapat menembusi sempadan bangsa dan etnik serta berfungsi sebagai pencetus ‘nilai-nilai bersama’ rakyat Malaysia seluruhnya.

“Oleh itu, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum perlu menyuburkan penghasilan karya dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Pemenang Anugerah Sastera Negara Ke-10 dimenangi Anwar Ridhwan pada 2009.

Tiada ulasan: