Rabu, 7 Mac 2012

Johor masih ‘tiang seri’ UMNO

Oleh Junita Mat Rasid dan Badrul Kamal Zakaria

   MUHYIDDIN   diiringi   Abdul Ghani   menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada OKU, M Pathaserge pada Majlis Jalinan Mesra Rakyat di Kluang, semalam.


MUHYIDDIN diiringi Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada OKU, M Pathaserge pada Majlis Jalinan Mesra Rakyat di Kluang, semalam.


Kekuatan hasil pendekatan MB turun padang ke setiap kawasan, dekati rakyat


KULAIJAYA: Johor, negeri kelahiran UMNO mampu terus kekal sebagai ‘tiang seri’ kepada kekuatan parti itu serta menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) walaupun berdepan cabaran pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu hasil pendekatan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang turun padang ke setiap kawasan Parlimen di seluruh negeri sambil meneliti situasi sebenar.
Katanya, sentimen rakyat Johor terhadap BN masih positif, namun masa sama semua pihak tidak boleh leka dan mengambil mudah, sebaliknya perlu terus menjalankan tugas sebaik mungkin.

“Saya yakin, kita masih boleh sebutkan Johor adalah ‘tiang seri’ UMNO dan kubu BN walaupun mengambil kira cabaran baru di kawasan terpilih yang disasarkan pembangkang. Secara umumnya saya puas hati dengan persiapan menghadapi pilihan raya yang dilaksanakan di Johor.

“Kita tahu sikap pengundi Melayu, Cina dan India, saya berpendapat sentimen kepada BN di Johor masih positif. Namun, kita tidak boleh leka dan mengambil mudah. Saya mohon semua peringkat bahagian UMNO dan BN memberi tumpuan yang lebih dekat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Rakyat dan Perasmian Bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya, di sini semalam. Turut hadir, Abdul Ghani yang juga Pengerusi BN Johor, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ali Hassan dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.
Sejurus tiba sempena lawatan sehari ke Johor semalam, beliau menghadiri dua perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO dan BN Johor.

Masa sama, Muhyiddin mengarahkan semua pemimpin BN dan UMNO memberi tumpuan memperkasakan jentera dan meningkatkan kerjasama semua ahlinya di kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU13.

“Di setiap peringkat dan kawasan, kita mesti tahu kedudukan dan keadaan sebenar serta apa yang perlu dilakukan untuk menentukan kawasan itu kekal menang dan mendapat sokongan lebih.

“Paling utama adalah pengundi. Kalau kita sudah memberi perhatian, menjaga kepentingan pengundi tanpa kira kaum dan penuhi tuntutan serta kemahuan mereka, menjaga kebajikan, membantu ekonomi serta pendidikan yang sudah kita lakukan selama ini, kita yakin mereka faham untuk membuat keputusan bila sampai PRU13 nanti, " katanya.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung kadar tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) sekali gus memberi 'keceriaan' kepada pengguna laluan berkenaan.

“Kita sudah berbincang mengenai EDL dalam mesyuarat ekonomi dan akan ada pengumuman dalam masa terdekat selepas beberapa perkara yang perlu kita teliti.
Kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memberi pandangan mereka dan membawa perkara itu kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ” katanya.

Tiada ulasan: