Rabu, 28 Mac 2012

Jemaah haji bakal guna kereta kabel ke gua Hira’

Editor@WD

MAKKAH: Institut Penyelidikan Haji dan Umrah di Universiti Umm al-Qura menyiapkan kajian untuk memperkenal sistem kereta kabel bagi membawa jemaah ke gua bersejarah Hira’ dan al-Thur di Makkah.

Dekan institut, Abdul Aziz Saroji berkata, rancangan itu bertujuan memberi kemudahan kepada jemaah haji dan umrah, selain pengunjung ke bandar raya suci itu yang ingin melawat gua yang terletak di atas Jabal Nur dan al-Thur. Terdapat laluan 12 kereta kabel yang akan menghubungkan kawasan lembah ke gua di atas bukit itu.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan universiti berkenaan, Adnan Qutb berkata, projek yang dirancang itu dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. Menara dan tiang-tiang yang besar setinggi puncak gunung akan dibina untuk projek berkenaan, lapor akhbar Al-Madinah kelmarin.

Saroji pula berkata, institut itu menjalankan penyelidikan ekoran permintaan jabatan bertanggungjawab yang mendapati lawatan sedia ada ke tempat itu masa kini sangat berisiko dari segi keselamatan.

Beribu-ribu jemaah haji dan umrah termasuk warga tua dan wanita mengunjungi gua berkenaan apabila mereka datang untuk mengerjakan haji setiap tahun. Mereka melalui perjalanan sukar untuk mendaki gunung. Terdapat juga insiden terpencil apabila beberapa jemaah terjatuh dan meninggal akibat mendaki di masa lepas.

Gua Hira yang terletak di Jabl Al-Nour, 3.2 km dari Masjidil Haram, di mana al-Quran (wahyu) pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Gua Al-Thur terletak 4 km di selatan Masjidil Haram di mana Rasulullah dan sahabat baginda, Abu Bakar r.a bersembunyi ketika mereka dalam perjalanan ke Madinah semasa Hijrah. Kedua-dua gua telah menjadi tarikan utama bagi jemaah Haji dan umrah serta pengunjung ke kota suci.sumber: Arabnews.com

Tiada ulasan: