Rabu, 14 Mac 2012

Jawatankuasa Pemandu Hanya Penasihat Kerajaan Kedah - Azizan

MSTAR ONLINE

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan PAS pusat hanya akan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang diterajui parti itu.

Azizan berkata beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan jawatankuasa itu kerana jawatankuasa itu tidak akan mencampuri urusan pentadbiran negeri.

"Contohnya kalau dalam manifesto yang kita buat adalah kurang, maka mereka (Pemandu) mungkin akan suruh kita tambah dan kalau kita tak buat lagi, mungkin mereka akan bagi nasihat kepada kita. "Saya gembira dengan penubuhan jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau mengulas pengumuman PAS semalam tentang penubuhan jawatankuasa pemandu yang dianggotai lima pemimpin PAS diketuai bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Halim Abdul Rahman.

Antara peranan jawatankuasa berkenaan memberi nasihat kepada kerajaan PAS Kedah tentang pelaksanaan manifesto PAS.

Azizan berkata penubuhan jawatankuasa pemandu itu bukanlah sesuatu yang pelik sebaliknya pernah berlaku di Kelantan pada 1990 dan beliau merupakan seorang daripada anggota jawatankuasa itu.

"Pemandu tidak mempunyai undang-undang sebaliknya Pemandu memastikan bahawa kerajaan yang mentadbir negeri dapat menunaikan kewajipan mengikut manifesto dan dasar yang diperjuangkan.

"Walaupun ahli jawatankuasa yang dilantik tidak ada wakil dari Kedah, tetapi ia tidak menjadi masalah kerana semua yang dilantik adalah kenalan kita. Mereka akan pandu kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata beliau sedang menunggu surat perkenan Sultan Kedah berhubung pelantikan dua lagi Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dr Ismail Salleh, sebelum menetapkan tarikh untuk upacara angkat sumpah jawatan kedua-dua mereka.

"Saya tidak boleh beri jaminan bila majlis angkat sumpah itu akan dibuat. Ia tertakluk kepada pengesahan pejabat Tuanku bila tarikhnya, kalau cepat lagi bagus," katanya.-BERNAMA

Tiada ulasan: