Ahad, 25 Mac 2012

Isu SJK (T) Effingham: MIC khianat kaum India

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Bertindak ‘Return Effingham Land Action Team’ (Reflax) akan bertemu perdana menteri bagi menuntut tanggungjawab MIC terhadap penyelewengan rizab tanah SJK (T) Effingham, Bandar Utama.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, isu itu tidak boleh dikompromi kerana pemaju, Bandar Utama City telah memperuntukkan enam ekar yang dibangunkan di kawasan itu sebagai rizab pendidikan untuk sekolah Tamil.

Bagaimanapun, separuh daripada tanah itu telah diambil oleh MIC.

“Kita akan ke Parlimen pada 4 April. Ada bukti jelas bahawa tanah enam ekar itu diperuntukkan kepada sekolah,” katanya kepada Suara Keadilan.

Pada 2009, beliau bersama Concern Youth Movemennt (CYM) membongkar penyalahgunaankuasa MIC oleh ejennya, Datuk K Sivalingam yang juga Exco Selangor waktu itu.

Lot 28814 seluas enam ekar dipecah dua kepada lot 50222 yang dimiliki SJK (T) Effingham, Bandar Utama, manakala bakinya diambil MIC atas nama Presidennya ketika itu, Samy Vellu untuk membina bangunan ibu pejabat parti berkenaan.

“MIC yang kononnya ‘hero’ kepada orang India, tapi khianat kepada bangsa sendiri. Harapkan pagar, pagar makan padi,” tegas Sivarasa.

Pengerusi Reflex, G Manivanan memberitahu, jumlah pelajar semakin mengecil kepada 483 orang, manakala ibu bapa yang tidak yakin dengan masa depan sekolah itu mulai memindahkan anak mereka.

“Kawasan sempit dan tak cukup ruang. Nak lari 100 meter pun tak boleh, sebab panjang padang hanya 75 meter. Binaan tinggi (hi-rise) pun sebenarnya tak sesuai, kerana itu kawasan perumahan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong memaklumkan, melalui Akta Kebebasan Maklumat (FOIA), jawatakuasa berkenaan berpeluang akses kepada dokumen perjanjian berkaitan.

“Tanah sekolah itu dibawah kendalian kerajaan Pusat, iaitu Kementerian Pelajaran. Jika kerajaan negeri mengambil semula tanah, pampasan berjumlah RM30 juta adalah besar.

“Sedangkan MIC masih berpeluang membaiki ‘kerosakan’ yang dimulakan mereka. Pembinaan masih belum dimulakan,” katanya memaklumkan mesyuarat Exco pada 28 Mac akan menetapkan tarikh deklasifikasi dokumen perjanjian.

Terdahulu, kira-kira 50 pelajar dan ibu bapa mengadakan nyalaan lilin di Little India, Brickfields, 24 Mac lalu, simbolik penentangan pengambilan tanah pendidikan sekolah Tamil.

Bantahan yang masuk minggu keenam turut dihadiri ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersama ahli-ahli jawatankuasa PIBG SJK (T) Effingham dan orang ramai.

Tiada ulasan: