Khamis, 29 Mac 2012

Isu penjaja di Tasik Puteri bakal meletup

Harakahdaily,

RAWANG: Bandar Tasik Puteri yang terletak 15 km dari Bandar Rawang kini sedang berhadapan dengan dilema ekoran tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mahu merobohkan gerai-gerai yang berselerakan di situ.

Tarikh akhir demi tarikh akhir diberikan kepada pemilik gerai agar merobohkan kedai mereka namun sehingga kini belum terlaksana.

Ini kerana, tindakan MPS dikhuatiri menghasilkan tindak balas pemilik gerai, tambah-tambah pula dengan suasana yang hampir dengan pilihan raya umum ini.

Sejak beberapa tahun lalu lagi isu ini mula diperkatakan. Ini kerana, kewujudan gerai yang bersepah-sepah ini memburukkan mata yang memandang di samping menafikan hak dan berlaku tidak adil kepada mereka yang membeli rumah-rumah kedai di bandar baru itu.

(Gerai yang dibina penjaja di padang letak kereta)

"Mana adil encik. Kami beli rumah kedai beratus ribu. Kena bayar beribu sebulan kepada bank. Tetapi kedai makan yang kami buka tidak berapa laku kerana banyaknya gerai tepi jalan dan di tempat letak kereta itu yang dibina secara percuma.

"Tuh...gerai di tempat letak kereta tu..sepatutnya ia adalah tempat letak kereta pelanggan kami. Tetapi bila mereka berniaga di situ, orang ramai bersungut susah tempat parking," kata seorang peniaga.

Beliau dahulunya berniaga makanan panas di kedai itu kini hidup segan mati tak mahu kerana persaingan dengan gerai yang di buka secara berleluasa di tapak tempat letak kereta.

(Gerai penjaja yang dibina di tepi jalan)

Ketika pekedai membayar ribuan ringgit sebulan kepada bank, pemilik gerai di tempat letak kereta ini cukup hanya membeli atau menyewa khemah sahaja.

Mereka tidak perlu membayar apa-apa sewa atau bayaran kepada bank kerana dibuka di atas tapak percuma.

Bukan itu sahaja, mereka juga didakwa tidak mementingkan sangat kebersihan kerana banyak sampah yang dibuang atau jatuh ke dalam longkang di sebelah gerai mereka.

Dua tahun lalu, Jawatankuasa Penduduk BTP ketika itu, Haji Kamarudin, telah berbincang dengan pemilik gerai bagi menyelesaikan masalah ini.

(Sebelum ini, kedai-kedai di sini sangat meriah, namun sejak kehadiran gerai yang bersepah-sepah, kawasan ini sudah lengang)

Hasilnya mereka bersetuju untuk dipindahkan ke satu tempat yang akan dibina oleh MPS untuk mereka.

Sebanyak 32 pemilik gerai yang didaftarkan beliau telah bersetuju untuk berpindah ke sana.

Namun selepas dua tahun, baru projek tapak penjaja dan uptown Bandar Tasik Puteri itu siap kerana pihak yang mendapat hak untuk membinanya tidak mempunyai kewangan yang benar-benar mantap.

(Tapak penjaja dan uptown Bandar Tasik Puteri yang baru siap dibina tetapi tidak berapa mendapat sambutan)

"Bila dah siap, rupanya mereka tidak memenuhi perjanjian mereka dengan peniaga. Tapak yang disediakan mereka sangat kecil. Mungkin untuk menjimatkan belanja dan memaksimakan keuntungan.

"Akibatnya, penjaja tidak mahu pindah ke sana kerana tidak sesuai," kata Kamarudin kepada Harakahdaily.

Kini, kontraktor yang memajukan tapak penjaja dan uptown BTP itu mendesak MPS agar bertindak ke atas penjaja untuk mempasti semua penjaja berpindah ke tapak baru yang disediakan itu.

Pihaknya akan kerugian besar jika peniaga tidak berpindah ke sana. Ini kerana, semua kos pembinaan tapak dan rumah kedai di tapak baru itu dibina oleh beliau.

Di sinilah berlakukan pertembungan antara penjaja dan MPS. Yang bakal tersepit adalah Pakatan Rakyat yang dianggap mentadbir MPS.

Pihak Umno pula bukannya mahu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini tetapi mengambil kesempatan pula.

Seorang bekas ahli majlis MPS yang merupakan pemimpin Umno tempatan telah menjadi salah seorang penghasutnya. Beliau berjaya mengumpulkan para penjaja tempatan untuk membuat bantahan kepada MPS.

Hasilnya satu memorandum dihantar kepada MPS agar jangan merobohkan gerai penjaja di sini.

Ahli Majlis MPS yang ada sekarang, Abdul Majid Hassan (gambar) pula mengambil sikap berlaku adil kepada semua.

Bagi beliau, jika MPS mahu menjaga kepentingan 30 pemilik gerai ini bermakna MPS perlu korbankan keadilan yang sepatutnya diberikan kepada pembeli rumah kedai yang sudah sekian lama kerugian akibat kehadiran gerai-gerai yang dibina secara percuma ini di samping hak orang ramai untuk mendapat perkhidmatan terbaik.

Bagi Kamarudin, bekas JKP kawasan ini, jalan lain yang boleh difikirkan adalah membina satu pusat penjaja baru.


Beliau mencadangkan satu tapak tanah lapang berhadapan barisan rumah kedai di bandar itu dijadikan tapak penjaja baru.

(Tapak lapang yang dicadangkan Kamarudin agar dijadikan tapak penjaja)

Namun begitu, pihak pemaju hanya sedia memberikan kebenaran untuk dua tahun sahaja kerana ia akan dibangunkan selepas itu.

Pihak MPS pula sudah tentu sukar untuk menerima cadangan ini kerana ia akan menjejaskan uptown dan tapak penjaja yang telah diluluskan pembinaan sebelum ini.

Pendek kata, isu ini bakal meletup bila-bila masa di sini jika tidak dikendalikan dengan baik. Silap kendali ia bakal menjejaskan undi khasnya Pakatan Rakyat yang bakal diwakili PKR di kawasan ini.

Tiada ulasan: