Selasa, 6 Mac 2012

Isu Kedah: Bukti PAS mampu tadbir negara

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa bersyukur kerana pimpinan PAS Pusat mengambil langkah berkesan dengan menyelesaikan permasalahan yang berlaku di Kedah dengan cepat.

“PAS WP merasakan keputusan yang dibuat oleh kepemimpinan PAS Pusat adalah suatu keputusan yang terbaik dan menguntungkan semua pihak,” kata ketua penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Bagi PAS WP, katanya apa yang berlaku di Kedah adalah umpama perselisihan faham yang berlaku dalam sebuah keluarga.

Baginya, PAS Pusat ibarat ayah yang berjaya mendamaikan persengketaan antara adik beradik.

“Penyelesaian konflik ini menunjukkan PAS sememangnya matang dan mampu untuk mentadbir kerajaan apabila berjaya mencapai kata sepakat dengan kerukunan dan penuh adab,” ujarnya sebagai respons kepada tindakan dua Exco Kerajaan Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang menerima kembali jawatan itu sebagaimana diputuskan PAS Pusat, semalam.

Beliau menambah, rakyat melihat pemimpin PAS mampu duduk semeja, bersikap berlapang dada dalam menangani sesuatu konflik yang berlaku.

Katanya, konflik yang berlaku adalah suatu perkara biasa yang dihadapi oleh mana-mana organisasi.

Apa yang penting, tambahnya bagaimana penyelesaian dapat dibuat bagi mengatasi konflik yang berlaku dan PAS membuktikan mampu menyelesaikan konflik itu dengan baik.

Sesungguhnya, tegas beliau pemimpin PAS membuktikan mereka tidak berebutkan jawatan, pangkat, harta atau kedudukan seperti yang ditohmah oleh sesetengah pihak.

Pemimpin PAS juga, jelasnya tidak meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan jemaah sepertimana yang berlaku kepada pemimpin parti-parti politik lainnya.

“PAS WP percaya, isu ini mampu mengeratkan pertautan ukhwah serta semangat juang di kalangan ahli dan jentera parti di Kedah bahkan di seluruh negara serta mampu mengukuhkan lagi kedudukan PAS Kedah di bawah kepemimpinan YAB Datuk Seri Azizan Abdul Razak,” katanya lagi.

Justeru, katanya PAS WP mengharapkan jentera PAS di semua peringkat menumpukan perhatian kepada Pilihanraya Umum ke 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dan mengenepikan sebarang permasalahan yang berlaku di peringkat dalaman.

6 ulasan:

Kris Jr berkata...

Nampak PAS sedang mengamali masalah dalaman parti. Ini boleh melemahkan pemerintahan PAS.

Tanpa Nama berkata...

kita tgklah samada PAS mampu mentadbir negara atau tidak.

Sanih Alias berkata...

Pasa masa yang sama juga PAS seperti kelihatan tidak tentu arah.

Tanpa Nama berkata...

banyak sangat isu dari parti PAS sekarang ni. secara keseluruhannya, semua parti komponen PR sedang mengalami masalah dalaman.

running man berkata...

Satu negeri pun banyak isu, apa lagi kalau negara. PAS mampu tadbir negara?

Tanpa Nama berkata...

kesian pula saya tengok PAS ni.. baru dapat selesaikan konflik sudah dikatanya mampu mentadbir negara.. macam la mengurus konflik itu sama dengan mengurus negara.. macam mana dengan masalah air bersih di kelantan?? kenapa tidak selasai setelah lebih 20 tahun mentadbir negeri itu??