Selasa, 27 Mac 2012

Isu filem: 'Seperti takut nak tengok'

ANITA ABU HASAN & HASLINA KAMALUDIN

U - Wei Saari

Penonton terlalu banyak disogok dengan filem hiburan kosong, pada masa sama takut untuk menonton filem berat kerana mendakwa naskah aliran seni susah difahami.

Pengarah filem terkenal, U - Wei Saari berkata, tanggapan mengatakan filem seni memerlukan penonton berfikir untuk memahami jalan ceritanya, itulah yang boleh membunuh karya daripada aliran tersebut.

Katanya, filem sedemikian didefinisikan sebagai karya berpengertian mendalam, namun penonton seolah-olah takut untuk menontonnya.

“Akhirnya, ia menjadi seperti nanah dan dibenci segelintir masyarakat. Bukan hanya filem seni memerlukan berfikir, semua perkara memerlukan pemikiran. Kita duduk pun harus berfikir. Justeru, hentikan pemikiran sempit itu, sebaliknya berganding meningkatkan bilangan filem seni yang diperlukan untuk mendidik masyarakat,” katanya.

U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Saari dikenali sebagai pengarah filem seni, pernah menghasilkan filem pecah panggung menerusi Perempuan, Isteri Dan.... (1993) yang berjaya menawan hati penonton, seterusnya menggondol anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-11, pada 1994 dan U-Wei sendiri memenangi anugerah Pengarah Terbaik.

Dalam filem tersebut, mempertaruhkan pelakon Sofea Jane bersama hero Nasir Bilal Khan dan Zaidi Omar. Terdapat babak sensasi melibatkan budaya songsang, ‘nasi kangkang’ di dalam filem beliau itu. Antara filem lain arahan beliau ialah Jogho (1999), Kaki Bakar (2001) dan Buai Laju-Laju (2004).

Kata U- Wei yang juga penerbit dan penulis skrip, penonton hari ini dilihat tiada sifat ingin tahu sehingga karya hebat sering dipinggirkan.

“Itulah senario masyarakat kita, sering disogokkan dengan cerita hiburan kosong. Walhal, pembikin filem yang bernas adalah ahli fikir. Kalau tidak ada filem yang bererti, maknanya tiada ahli fikir di dalam industri ini. Mereka harus menjadi ensiklopedia bergerak yang mampu memberi wadah kepada penonton.

“Benar, tidak ada orang yang mahu membuat filem rugi. Saya tidak akan gadaikan seni hanya mahukan pangkat atau keuntungan semata-mata. Ramai pembikin filem di Malaysia adalah orang-orang yang mahu mengejar gelaran­ pengarah, ia sama seperti naik pangkat. Namun, erti sebenar filem, mereka sendiri kurang arif.

“Perlu diingat, tamadun di dunia ini diperoleh daripada seni. Oleh itu, seni perlu diangkat kepada satu aras yang tinggi berbanding filem komersial sedia ada,” katanya.

Bakal muncul dengan filem terbarunya, Hanyut lakonan pelakon muda Diana Danielle, U-Wei turut menekankan, filem seni penuh berkualiti dan ia adalah abstrak.

Tidak seharusnya pembikin filem boleh berasa puas di atas karya yang dihasilkan tetapi cukup meletakkan kayu ukur untuk mencapai kejayaan lebih tinggi pada karya seterusnya.

“Bagaimana mahu memartabatkan seni jika tidak mendapat kerjasama semua pihak? Kerajaan harus bantu pembikin filem seni ini kerana ia sangat berbeza daripada filem komersial.

“Jika tiada lagi filem seni di negara ini, bermakna tiada kepelbagaian dalam sesebuah karya. Masyarakat perlu ada budaya menonton kerana filem seumpama ini tidak susah untuk diikuti. Ini kerana dalam filem seni, ada klimaks, budaya serta resolusi yang sangat jelas,” katanya.

Tiada ulasan: