Rabu, 28 Mac 2012

Hutang negara RM456.1b, melonjak hampir 100%

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR:
Ketika kerajaan menanggung beban hutang sebanyak RM456.1 bilion, kerajaan juga begitu bermurah hati melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta.

Dengan beban hutang yang meningkat hampir 100 peratus itu juga, kerajaan tidak teragak-agak menambah beban dengan lebihan perbelanjaan sebanyak RM3.4 bilion ketika membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Begitu juga apabila kerajaan bertindak melepaskan Maju Holdings Sdn Bhd dengan keuntungan RM976.2 juta setelah menjual konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya kepada EP Manufacturing Berhad yang dilaporkan bernilai RM1.7 juta, sementara geran sebanyak RM976.2 juta tidak dituntut kembali Kementerian Kewangan.

Berdasarkan situasi-situasi tersebut, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) mempersoalkan apakah rakyat melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih layak dan mampu mengurus kewangan dan khazanah negara.

"Bagaimana Najib cuba meyakinkan rakyat yang membayar cukai tentang kebijaksanaannya menguruskan ekonomi negara, sedangkan beliau lebih dilihat mengutamakan kroni dan hanya membebankan rakyat?" soal beliau ketika sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bagi soalan lisan beliau yang diberikan Kementerian Kewangan berhubung jumlah hutang Kerajaan Persekutuan.

Dzulkefly menambah, hutang kerajaan telah melonjak dari RM146 bilion pada 2002, RM242 bilion (2006), dan RM456.1 bilion pada penghujung 2011, yang dilihat melonjak hampir 100 peratus.

"Paling merunsingkan pelbagai pihak adalah perbelanjaan di luar peruntukan belanjawan atau off-balance sheet spending. Seandainya hutang ini gagal dibayar badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin kerajaan pusat, maka semua ini akan menjadi hutang kerajaan pusat," tegas beliau lagi.

Ini kerana, katanya sejak tahun-tahun kebelakangan, kerajaan pusat menerbitkan pelbagai Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan (bon simpanan) dan Sekuriti Kerajaan.

Tambah Dzulkefly, pinjaman itulah yang dimaksudkan dengan pinjaman yang tidak termasuk dalam hutang hutang kerajaan RM456.1 bilion.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengatakan hutang kerajaan sebanyak RM456.1 bilion atau 53.5 peratus nisbah KDNK, dengan hutang dalam negeri berjumlah RM438 bilion, manakala baki RM18.1 juta merupakan hutang luar negeri.

Tiada ulasan: