Sabtu, 3 Mac 2012

Halang ceramah Pakatan: Polis berat sebelah- Wiliam Leong

Oleh: Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Selayang, Wiliam Leong membidas tindakan berat sebelah pihak polis menolak permohonan Pakatan Rakyat mengadakan program ceramah, sebaliknya membenarkan program yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) dan proksi parti itu.


Petang tadi, Wiliam dipanggil memberi keterangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, berhubung siasatan mengadakan ceramah tanpa kebenaran polis.

Menurut Wiliam, pihaknya telah memohon mendapatkan kebenaran polis untuk mengadakan ceramah di Bandar Tasik Puteri Rawang pada 18 Februari lalu, namun ia ditolak.

“Seminggu sebelum saya mengadakan ceramah, Ahli Parlimen bebas, Zulkifli Noordin mengadakan ceramah di lokasi sama.

“Permohonan Zulkifli diterima dan dia boleh mengadakan ceramah tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.

Wiliam, yang juga Bendahari Agong KEADILAN hadir di IPD Gombak pada jam 2 petang dengan diwakili peguam, Sivarasa Rasiah.

Sementara itu, Sivarasa berkata Wiliam disiasat di bawah Seksyen 143 Akta Kanun Keseksaan iaitu mengadakan perhimpunan dan ceramah awam tanpa permit.

Katanya, dalam siasatan selama 45 minit itu polis merakamkan kenyataan Wiliam berhubung program ceramah yang diadakan.

Bagaimanapun katanya, Wiliam supaya tidak memberikan sebarang keterangan kepada pihak polis berdasarkan hak beliau.

“Ini adalah tuduhan daripada polis dan apa-apa soalan yang berkaitan dengan ceramah itu akan dijawab di mahkamah jika perlu,” katanya.

Tiada ulasan: